KEHIDUPAN seseorang boleh berubah dalam satu malam, dari bergelar pelajar cemerlang sehingga terpaksa berhenti menjadi penuntut universiti dek sakit dihadapi. Demikian kisah Ahmad Nor Al Faizan Jusoh atau lebih dikenali sebagai 'pak cik OKU'.
Ahmad Nor Al Faizan, 47, baru-baru tular selepas videonya menjadi mangsa dipukul beramai-ramai selepas dikatakan terlanggar salah satu gerai penjaja di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu.
Kisahnya yang meraih simpati orang ramai itu membuatkan orang ramai berminat untuk mencari tahu mengenai perihal dan latar belakang lelaki kelainan upaya (OKU) kategori mental tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis buru suspek pukul penunggang OKU langgar tapak niaga Pasar Tani Padang Astaka
Siapa sangka selepas diselidik, ayah kepada lima cahaya mata itu rupanya merupakan pelajar cemerlang daerah Kemaman suatu ketika dahulu dan lebih menarik apabila dia pernah mewakili Terengganu dalam kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) untuk sukan hoki.
Berkongsi kepada Majoriti mengenai kisah hidup pak cik OKU, adik Ahmad Nor Al Faizan iaitu Ahmad Syahmi Jusoh menyatakan bahawa abangnya mula aktif dalam sukan hoki sejak di bangku sekolah rendah.
Kehebatannya yang beraksi di posisi sayap kiri itu semakin berkembang sehingga dia banyak mewakili sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu di peringkat daerah dan negeri.
SMK Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu.
"Abang (Ahmad Nor Al Faizan) salah seorang adik-beradik yang cemerlang dalam akademik. Dia pernah menerima anugerah pelajar cemerlang peringkat daerah Kemaman dan penerima anugerah pelajar cemerlang peringkat Terengganu.
"Untuk hoki pula, dia berjinak-jika sejak zaman sekolah rendah hingga sekolah menengah. Sampai sekolah menengah hingga pernah mewakili Terengganu untuk SUKMA dalam hoki tetapi tahun itu saya dah tak ingat bila.
"Dia ada cita-cita untuk main kebangsaan tapi tidak kesampaian. Lagi pun dia dah berhenti main hoki semasa di matrikulasi dan ketika melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Putra Malaysia (UPM), abang sudah tidak aktif bermain hoki," katanya kepada Majoriti.
Bagaimanapun, nasib Ahmad Nor Al Faizan berubah ketika menuntut di UPM, Serdang, Selangor apabila dia terpaksa berhenti lebih awal susulan didiagnosis masalah mental akibat tekanan belajar.
Ahmad Syahmi (kiri) berkongsi abangnya merupakan pelajar cemerlang.
Ahmad Syahmi berkata, perkara terbabit sememangnya mengejutkan dia dan keluarga kerana tidak menyangka penuntut kursus Sains Sukan UPM itu boleh menghidap penyakit sebegitu rupa.
"Dia tidak habis belajar. Di UPM itu pun sekejap sahaja. Kira-kira satu semester ataupun dua semester seingat saya. Lepas jadi begitu, dia pun tidak sambung belajar kerana kesihatan mental dia on off.
"Mungkin faktor tekanan belajar ke macam mana kami tak tahulah tu. Mula-mula UPM tidak bagi berhenti dan extend tiga bulan sebelum tukar dari UPM Serdang ke UPM Terengganu (kini Universiti Malaysia Terengganu).
"Apabila pindah ke sana pun sama juga. Dia beritahu tidak boleh nak sambung belajar. Semasa sudah berkahwin pun on off keadaannya," kongsi anak keempat dari tujuh beradik termasuk seorang anak angkat itu.
Bercakap mengenai keadaan terkini abangnya itu, Ahmad Syahmi sedang menunggu perkembangan pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) susulan kecederaan akibat dipukul oleh empat individu.
Sehingga hari ini, suaminya masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Dalam pada itu, setakat ini seramai empat individu berusia dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun telah ditahan. Beberapa individu termasuk ahli keluarga mangsa turut dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram