LEBIH 30 tahun lalu, sebatan syarie di Malaysia dilaksanakan di dalam penjara dengan disaksikan beberapa individu tertentu sahaja. Sebatan syarie secara terbuka yang terawal di negara ini dilakukan pada September 2014 melibatkan seorang lelaki di dalam dewan Mahkamah Tinggi Syariah, Tawau, Sabah dengan disaksikan lebih kurang 40 tetamu.
Umum mengetahui hukuman sebat bukan sahaja berlaku dalam perundangan Islam tetapi diperuntukan juga dalam undang-undang konvensional.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir berpendapat masyarakat perlu membezakan hukuman sebat sivil dan sebat syariah yang dilakukan secara terbuka bagi mengelakkan persepsi negatif.
BACA LAGI: Hukuman sebat duda 3 kali khalwat dilaksanakan 27 Disember depan
"Hukuman sebat syariah secara terbuka lebih mendidik berbanding hukuman yang dilaksanakan secara dalam penjara yang tiada siapa tahu.
"Perlu dibezakan diantara sebat sivil dan sebat syariah kerana sebat sivil sangat menyakitkan dan masyarakat menganggap hukuman sebat syariah sama seperti sebat sivil yang mengerikan" katanya kepada Majoriti.
Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, Terengganu. — mydx
Menurutnya, sebat syariah tidak sama dengan sebat sivil dari segi kadar kesakitan kerana tujuannya adalah untuk mendidik.
"Jika melihat sebat yang dilaksana pada zaman Nabi Muhammad SAW adalah begitu mudah. Diriwayatkan dalam sebuah hadis di mana Rasulullah mengarahkan seorang peminum arak disebat. Ada yang pukul dengan selipar, pukul dengan kain serban dan sebagainya, alat-alat yang digunakan begitu ringan dan mudah pelaksanaanya kerana bertujuan untuk mendidik dan tidak sampai luka," katanya.
Hukuman sebatan sivil diperuntukkan bagi kesalahan jenayah berat tertakluk dalam beberapa statut dan statut paling banyak di peruntukan hukuman sebat ialah Kanun Keseksaan (Akta 574) tetapi hukuman sebatan sivil tidak wujud dalam kesalahan kecil kerana sebatan sivil bukan sahaja menyakitkan, malahan mencederakan pesalah.
Berbeza dengan sebatan syarie, sebatan yang diperuntukan bagi kesalahan berat dan juga kecil tertakluk di bawah takzir berbeza. Terdapat empat jenis hukuman sebatan syarie iaitu kesalahan hudud seperti zina sebanyak 100 kali sebatan, qazaf (80 kali) dan minum arak sebanyak 40 kali.
Bagi kesalahan takzir seperti dadah, rogol, judi, perlakuan tidak sopan dan khalwat adalah di bawah pertimbangan pemerintah seperti denda, penjara, sebat, amaran atau menjalani hukuman khidmat masyarakat.
Sebatan syarie menjaga aib pesalah
Dr Mohammad Nidzam berkata ketika pelaksanaan hukuman sebat, pesalah syariah perlu berpakaian lengkap dan menutup aurat dengan sempurna.
"Kalau malu boleh diisytiharkan tutup muka sebab buka bahagian tidak disebat. Maknanya pesalah boleh dipakaikan sarung muka (mask) ketika menjalani hukuman maka orang ramai tidak dapat ambil gambar dengan jelas kerana ditutup sebahagiannya," katanya.
Beliau menambah, jika ada kalangan kelompok masyarakat yang mempertikaikan mengenai penjagaan aib pesalah maka pihak berkuasa boleh mengisytiharkan wajah pesalah wajib ditutup dengan pelitup muka.
Namun, sekiranya tiada halangan dari sudut perundangan atau tidak dinyatakan dalam undang-undang muka hendaklah dibuka maka pihak berkuasa bebas untuk membuka atau menutup wajah pesalah.
"Terserah kepada kebijaksanaan dalam konteks menjaga air muka namun yang penting adalah pelaksanaan hukuman supaya boleh diambil iktibar sekaligus tujuan mendidik," katanya.
Persepsi masyarakat terhadap pesalah
Dr Mohammad Nidzam menegaskan masyarakat tidak seharusnya memandang serong atau timbul 'cakap-cakap belakang' terhadap pesalah syariah kerana mereka telah menerima hukuman atas kesalahan yang dilakukan.
"Nabi Muhammad SAW bersabda 'janganlah kamu membantu syaitan ke atas kawan kamu ini', hadis ini disabdakan selepas hukuman dilaksanakan ke atas seorang sahabat dan ada sahabat-sahabat lain yang merendahkan pesalah berkenaan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pesalah syariah harus diberi peluang hidup seperti orang biasa kerana sebagai warganegara, mereka berhak dan telah bebas dari kesalahan.
Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir.
Kaedah pelaksanaan hukuman sebat syariah, sivil
Di bawah Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), dinyatakan alat sebatan tidak mendatangkan mudarat kepada pesalah kerana saiz rotan yang sederhana, panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.
Hayunan tangan tukang sebat hendaklah menggunakan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah.
Selepas mengenakan satu kali sebatan, tukang sebat perlu mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya. Bagi sebatan seterusnya tukang sebat harus memindahkan setiap sebatan di bahagian berbeza dan tidak boleh dikenakan ke muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit pesalah.
Paling penting, pesalah yang disebat harus dalam pakaian lengkap sekaligus menjadi alas antara rotan dengan kulit yang mampu mengelakkan luka proses sebatan wajib disaksikan sekurang-kurangnya empat orang lelaki Islam.
Berbeza dengan hukuman sebat sivil. Hukuman sebat sivil merupakan hukuman undang-undang kedua paling serius, selepas hukuman mati. Jumlah rotan paling banyak yang boleh dikenakan ke atas seorang penjenayah mengikut undang-undang jenayah di Malaysia ialah 24 rotan.
Terdapat dua jenis rotan yang digunakan iaitu rotan nipis digunakan untuk kes rasuah, kesalahan jenayah pecah amanah dan jenayah kolar putih manakala rotan jenis tebal digunakan untuk jenayah kes rogol dan gangguan seksual.
Rotan jenis nipis tidak terlalu mencederakan anggota badan tetapi ia lebih menyakitkan sementara rotan tebal meninggalkan kesakitan melebihi lima kali ganda hingga boleh mengakibatkan kematian pucuk, kematian rasa dari punggung ke bawah dan sukar dipulihkan.
Pesalah pula akan dipakaikan sehelai apron yang diikat kepada pinggang. Sewaktu dirotan, tangan dan punggungnya diikat pada suatu rangka berbentuk A. Kepalanya diletakkan dibawah sebatang kayu melintang supaya badannya membongkok. Tukang rotan akan memulakan dengan memegang rotan secara mendatar di atas kepalanya. Apabila sudah bersedia, rotan dihayunkan ke arah punggung pesalah dengan sekuatnya.
Segala hukuman merotan mesti dijalankan dalam satu sesi. Sekiranya pesalah itu pengsan, ataupun pegawai perubatan mengarahkan pelaksanaan hukuman diberhentikan kerana pesalah tidak boleh meneruskan lagi, pelaksanaan merotan akan ditamatkan. Suatu permohonan akan dibuat ke mahkamah supaya baki rotan digantikan kepada hukuman pengurungan. Selepas dirotan, pesalah akan dihantar ke klinik penjara untuk mendapat rawatan. Pesalah dirawat sehingga sembuh.
Hukuman sebat di negara lain
Di Arab Saudi dan Aceh hukuman sebatan syarie dilaksanakan di tempat awam seperti pekarangan masjid dan disaksikan oleh orang ramai, manakala di Brunei hukuman masih mengamalkan pelaksanaannya di dalam penjara.
Pada April 2020, media antarabangsa melaporkan, Mahkamah Agung Arab Saudi memansuhkan hukuman sebat dan digantikan dengan hukuman penjara atau denda. Arahan dikeluarkan susulan pembaharuan hak asasi manusia yang disyorkan oleh Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan kali terakhir hukuman sebat di hadapan umum dilakukan ialah pada tahun 2015 terhadap penulis blog, Raif Badawi, selepas disabitkan dengan jenayah siber dan menghina Islam.
Di Acheh, pada Februari 2021, Kompas Online melaporkan seorang lelaki pengsan ketika menjalani hukuman sebat 100 kali di pekarangan Masjid Agung Al Munawarah di Janthoe, Aceh Besar selepas didapati bersalah kerana melakukan hubungan sulit. Lelaki berkenaan pengsan ketika sebatan ke-74 dan terpaksa diturunkan dari pentas hukuman untuk menerima rawatan daripada pasukan perubatan. Sementara pasangannya selesai menjalani hukuman sebatan sebanyak 100 kali tanpa henti.
Di Brunei pula, media melaporkan undang-undang jenayah Islam dilaksanakan pada 2014 secara berperingkat dan undang-undang itu dilaksanakan sepenuhnya pada April 2019. Undang-undang Syariah itu berdepan kanun keseksaan dengan melaksanakan hukuman rejam sampai mati bagi kesalahan liwat, zina atau rogol dan memotong tangan atau kaki untuk kesalahan mencuri.
Masjid Al-Muktafi Billah Shah memahat satu lagi sejarah dalam perundangan syariah di negara. — mydx
Sejarah berulang
Esok (27 Disember 2024) di Malaysia, seorang tukang rumah Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman sebatan di khalayak ramai.
Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail menetapkan hukuman itu akan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu dengan disaksikan oleh 70 tetamu.
Pada 20 November, Mohd Affendi didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat dan turut dikenakan denda RM4,000, dan enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Tidak serik dengan kesalahan pertama pada 11 Julai 2023, Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman mendenda bapa kepada tiga anak itu RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat dan pada 25 Januari lalu dia sekali lagi didakwa melakukan kesalahan sama di mana Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000.
Hakikatnya, jika diteliti hukuman Syariah boleh memberikan kesan pencegahan, baik bagi pesalah itu sendiri dan relevan hukuman sebat dilakukan secara terbuka dapat mencegah masyarakat yang melihatnya daripada melakukan perbuatan jenayah berulang atau jenayah yang lain.
Sehubungan itu, jauhilah perbuatan yang boleh membawa kepada hukuman sebatan kerana ia tentu sekali akan memberi kesan mental dan fizikal yang berpanjangan kepada tuan badan serta keluarga. Yang pasti ia hukuman di dunia, namun hukuman abadi di akhirat jua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram