Kes Zara Qairina: Hormati prosedur, bukan cipta naratif awal tanpa siasatan lengkap — Peguam


  • Massa
  • Sabtu, 02 Ogos 2025

Terdapat tuduhan menyatakan Noraidah (kiri) terlibat dalam kes kematian Zara Qairina pada pertengahan Julai lalu.

ISU berkaitan kematian tragis pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu, Zara Qairina Mahathir terus menjadi tumpuan dan perdebatan hangat di media sosial.

Apa yang sepatutnya menjadi ruang untuk empati dan sokongan kepada keluarga yang sedang berkabung kini berubah menjadi medan naratif, teori dan tuduhan yang tidak berasas.

Seperti kes remaja perempuan sindrom Down, Bella dan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan, reaksi awam di media sosial biasanya terbahagi kepada dua iaitu ada yang percaya berlaku penderaan atau jenayah dan ada yang anggap ia akibat tekanan emosi atau kemalangan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Rakyat Malaysia sensitif', ramai gesa senarai hitam peniaga runcit guna pekerja warga asing

BACA LAGI: Rata-rata pengguna lega, bil elektrik turun selepas penstrukturan tarif

Terbaharu, muncul sebuah akaun TikTok yang dikenali sebagai ‘Plot Twist Zara’, yang aktif memuat naik kandungan bersifat spekulatif berkaitan punca kematian Zara.

Akaun itu menyebarkan satu naratif bahawa remaja tersebut mengalami tekanan di rumah hingga membawa kepada tindakan mencederakan diri sendiri.

Namun, kemunculan naratif seperti itu menimbulkan persoalan besar terutama dalam kalangan keluarga terdekat.

Mereka masih dalam keadaan trauma, selepas dikejutkan dengan pemergian Zara Qairina dalam masa yang sangat singkat.

Difahamkan, dalam tempoh kurang 48 jam, ibu Zara Qairina dikejutkan dengan berita bahawa anak mereka berada dalam keadaan kritikal, sebelum dimaklumkan otaknya tidak lagi berfungsi.

Dalam keadaan terdesak dan penuh kesedihan, keputusan sukar terpaksa dibuat untuk menghentikan mesin bantuan hayat.

Rakaman suara terakhir Zara yang mengucapkan 'I love you, Ma' menjadi kenangan terakhir yang menghantui keluarga tersebut malah turut menyentuh hati ramai pengguna media sosial.

Namun dalam kekalutan emosi itu, tular pula pelbagai naratif yang belum dibuktikan.

Antaranya melibatkan kewujudan sebuah 'diari' dikatakan milik Zara Qairina, yang mengandungi catatan tekanan emosi dikaitkan dengan suasana di rumah.

Namun, garis masa, kesahihan dokumen dan motif penyebaran diari tersebut belum dapat dipastikan.

Zara Qairina ditemui tidak bernyawa selepas terjatuh dari bangunan sekolahnya pada 17 Julai lalu.

Mengulas perkara itu, seorang peguam, Nor Zabetha menerusi laman Facebook menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan sesetengah pihak yang terlalu cepat memanipulasi cerita peribadi mangsa bagi membentuk persepsi awam.

"Kalau benar ingin mencari punca sebenar, berikan ruang kepada siasatan rasmi. Bukan dengan mencipta akaun media sosial untuk membentuk naratif tertentu yang boleh menjejaskan maruah keluarga dan menambahkan tekanan kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, apa yang diperlukan ketika ini adalah ketelusan siasatan dan kesabaran masyarakat untuk menunggu keputusan rasmi daripada pihak berkuasa bukan tergesa-gesa mencipta atau mempercayai naratif yang belum disahkan.

Zabetha turut menyamakan situasi itu dengan beberapa kes lain yang pernah dikendalikan beliau, termasuk satu kes rogol yang melibatkan penceramah bebas.

Ketika itu, tular naratif fitnah terhadap ibu mangsa kononnya menjual anak sendiri, hanya kerana ingin menyelamatkan reputasi pelaku.

“Dalam banyak kes, naratif dibina untuk mengaburi dosa orang yang bersalah. Mangsa dijadikan sasaran dan keluarga mereka pula dihukum oleh masyarakat,” katanya lagi.

Beliau menggesa masyarakat agar lebih berhati-hati dalam menilai maklumat yang dikongsi di media sosial, serta memberi kepercayaan kepada proses undang-undang dan prosedur forensik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram