
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam keterangan tiga individu dipercayai pempengaruh media sosial berhubung penyebaran video yang memaparkan mereka memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Selasa, MCMC memaklumkan rakaman keterangan dan siasatan lanjut berhubung perkara itu dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor selain menyita tiga telefon bimbit dan tiga kad SIM bagi membantu siasatan.
Menurut agensi tersebut, kandungan video itu dipercayai bersifat jelik melampau dan mencetuskan kemarahan serta kecaman meluas dalam kalangan pengguna media sosial selain menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk dalam negara.
BACA LAGI: Kerjasama awam kunci capai sifar gelandangan menjelang Tahun Melawat Johor 2026
Tangkap layar daripada video yang dimuat naik pada Selasa sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial.
"MCMC akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif literasi digital melalui Kempen Internet Selamat (KIS), bagi membentuk masyarakat yang celik digital, beretika dan bertanggungjawab.
"Inisiatif ini turut menyemai budaya penciptaan kandungan yang berhemah, beretika dan beradab, selain meningkatkan kesedaran terhadap nilai-nilai murni dalam ekosistem digital negara," tulisnya.
Kenyataan itu memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam sebuah video tular pada Selasa, sekumpulan remaja memberikan sisa makanan berupa tulang ayam dan nasi kepada seorang gelandangan yang tidur di kaki lima.
Rakaman tersebut kemudian mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai yang mendesak pihak berkuasa supaya segera mengenakan tindakan ke atas pihak berkaitan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram