
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat seorang pengguna TikTok selepas disyaki memuat naik dua kandungan berunsur palsu dan jelik serta melampau membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Selasa, MCMC berkata, kandungan itu dipercayai dimuat naik sebagai reaksi terhadap isu berkaitan pesta tidak bermoral dalam negara serta kenyataan rasmi perdana menteri mengenai pemberian insentif penghargaan kepada rakyat.
"Dalam satu lagi hantaran, individu terbabit turut disyaki membuat tuduhan palsu dan jelik berhubung lawatan rasmi perdana menteri ke luar negara," katanya.
BACA LAGI: MCMC tegaskan privasi pengguna dilindungi, tiada data peribadi diakses
BACA LAGI: MCMC pantau jualan vape, rokok elektronik dalam talian - Fahmi
Anwar Ibrahim menjadi sasaran dalam dua hantaran dimuat naik individu itu.
Bagi membantu siasatan, MCMC sudah memanggil individu berkenaan untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya pada Isnin dengan sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM disita bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
"Pihak MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform media sosial untuk menyebarkan kandungan jelik melampau dan juga sebarang tuduhan tidak berasas.
"MCMC akan terus mengambil tindakan tegas demi memelihara ketenteraman awam serta keharmonian negara," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram