Op Taring Bravo 3: Lebih 3,800 unit peranti komunikasi dirampas


  • Massa
  • Isnin, 28 Jul 2025

Pegawai penguat kuasa MCMC menerima barangan yang telah disita oleh PDRM untuk tujuan analisis teknikal dan penelitian lanjut.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap sebuah syarikat yang disyaki menjalankan aktiviti penjualan peralatan komunikasi tidak diperakui secara dalam talian.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, tindakan tersebut dilakukan hasil kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan pelaksanaan operasi bersepadu Op Taring Bravo 3 yang melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa.

Tambah suruhanjaya tersebut, sebanyak 3,837 unit peralatan komunikasi pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM500,000 telah disita oleh pihak PDRM dalam operasi tersebut dan diserahkan kepada MCMC untuk tujuan analisis teknikal dan penelitian lanjut.

BACA LAGI: Putrajaya jadi saksi, PM Anwar umum Thailand, Kemboja setuju laksana gencatan senjata

BACA LAGI: Di sebalik cerita sedih PBT kacau periuk nasi, rupanya ada jurufoto jalanan berperangai tak senonoh

Sebanyak 3,837 unit peralatan komunikasi pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM500,000 telah disita oleh pihak PDRM.

"Antara barangan yang dirampas termasuk konsol permainan tanpa wayar, alat kawalan jauh tanpa wayar, peranti pintar, tablet dan pelbagai peranti komunikasi lain yang dipercayai dipasarkan tanpa perakuan teknikal sah daripada MCMC.

"Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika didapati bersalah," jelas kenyataan itu pada Isnin.

MCMC turut menegaskan komitmennya untuk terus memperketatkan tindakan penguatkuasaan dalam membanteras penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.

Ini katanya bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin serta memelihara integriti pasaran dari segi pematuhan teknikal.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penjualan atau pengedaran peranti komunikasi tidak diperakui digesa menyalurkan maklumat melalui saluran aduan rasmi MCMC atau terus melaporkannya kepada pihak PDRM," tambah kenyataan itu. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram