
TIMBALAN Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching hadir pada Program Kempen Internet Selamat (KIS) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh, Keningau, Sabah pada Isnin.
Program itu merupakan kesinambungan inisiatif KIS yang telah dilaksanakan di beberapa negeri lain, di bawah anjuran Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Seramai 120 pelajar Tahun 1 hingga Tahun 3 menyertai kempen tersebut di SK Pasir Puteh, yang menjadi sekolah rendah pertama di Keningau menggunakan modul khas untuk pelajar berumur tujuh hingga sembilan tahun.
BACA LAGI: Waspada taktik licik warga asing si tukang rumah 'segera', ugut pelanggan jika lapor polis
YB Teo Nie Ching meluangkan masa bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh.
Modul tersebut direka khusus untuk meningkatkan kefahaman pelajar tentang penggunaan Internet secara umum, fungsi aplikasi dalam talian, serta memberi kesedaran tentang risiko dan ancaman siber.
Selain itu, pelajar juga didedahkan mengenai had umur minimum 13 tahun bagi memiliki akaun media sosial.
Kempen berkenaan turut menekankan mengenai bahaya penggunaan Internet tanpa kawalan serta menggalakkan aktiviti alternatif yang lebih positif.
Pendekatan itu diharap dapat membantu pelajar memahami asas literasi digital, mengenal pasti risiko buli siber dan pengantunan (grooming), serta mempelajari cara menggunakan Internet dengan selamat dan bertanggungjawab.
Program tersebut diyakini mampu memupuk kesedaran keselamatan dalam talian dan membudayakan penggunaan Internet yang positif dalam kalangan pelajar sekolah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram