'Tuduhan ini jejas maruah saya, keluarga', Unduk Ngadau Ranau 2021 lapor polis, didakwa rampas suami orang


  • Maya
  • Isnin, 28 Jul 2025

Dianarin sudah membuat laporan polis dan sedang mendapatkan nasihat undang-undang berhubung tuduhan tersebut. — Facebook/Diyna Diana Rin

BEKAS finalis tiga terbaik Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) peringkat negeri Sabah membuat laporan polis selepas tular di media sosial dakwaan beliau menjalin hubungan dengan lelaki sudah berkahwin.

Dianarin Vahidin, pernah dinobatkan Unduk Ngadau Paginatan 2021 menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut, yang disifatkannya fitnah serius dan tidak berasas.

“Saya dimaklumkan nama saya telah dikaitkan dengan dakwaan kononnya saya adalah ‘perampas suami orang’.

"Tuduhan ini menjejaskan maruah dan imej saya secara peribadi, nama baik keluarga, serta reputasi institusi Unduk Ngadau,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

BACA LAGI: Kes cabul peserta Unduk Ngadau, dakwa Philip Among belai belakang badan

BACA LAGI: Kota Kinabalu tuan rumah 3 pertandingan ratu cantik bertaraf dunia

Menurut Dianarin, beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang hubungan sebagaimana didakwa dan menyifatkan tuduhan tersebar itu sebagai tohmahan yang mengganggu emosi dan membahayakan keselamatan dirinya.

Susulan fitnah tersebut, Dianarin telah membuat laporan polis dan sedang mendapatkan nasihat undang-undang.

Beliau turut menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi siasatan lanjut terhadap penyebaran maklumat palsu.

“Saya memandang serius perkara ini dan percaya ia harus menjadi pengajaran kepada semua agar lebih bertanggungjawab, beretika dan berhati-hati dalam membuat hantaran atau menyebarkan maklumat di media sosial,” tegasnya lagi.

Tambahnya, tindakan tidak beretika sebegitu bukan sahaja mencemarkan nama baik individu, malah boleh merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi seperti Unduk Ngadau yang memperjuangkan nilai warisan, maruah dan jati diri wanita Sabah.

Dianarin turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Unduk Ngadau Sabah (UNS) atas sokongan yang diberikan selain untuk mempertahankan hak serta maruah dirinya.

“Saya menyeru kepada semua agar tidak terus menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

"Kecaman tanpa usul periksa boleh membawa kesan sangat mendalam terhadap kehidupan seseorang,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram