SARA untuk semua, rakyat 18 tahun ke atas terima RM100


  • Massa
  • Rabu, 23 Jul 2025

Orang ramai boleh memanfaatkan bantuan tersebut di pasaraya utama dan kedai-kedai runcit seluruh negara.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 kepada setiap individu di atas usia 18 tahun secara one-off melalui kad pengenalan (MyKad) di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan.

Beliau berkata, bantuan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama sserta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara.

“Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400. Ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion," kata beliau.

BACA LAGI: Penghargaan buat rakyat yang dijanjikan akan diumum pagi Rabu — PM Anwar

BACA LAGI: Muat naik 2 hantaran jelik berkaitan PM Anwar, MCMC siasat pengguna TikTok

Anwar mengumumkan bantuan one-off itu akan dilaksanakan secara lebih meluas berbanding sebelum ini.

Anwar berkata demikian ketika membuat pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri yang turut disiarkan secara langsung di televisyen dan pelbagai platform media sosial pada Rabu.

Tambah beliau, jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk tahun ini, dan ini adalah kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.

Sebelum ini, kerajaan memperluas dan menambah kategori barangan boleh dibeli menerusi bantuan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula 1 Mei lalu.

Anwar berkata, perluasan kategori barangan itu melibatkan produk kebersihan rumah seperti sabun atau serbuk pencuci pakaian, pinggan mangkuk dan lantai, menjadikan kategori barangan berdaftar di bawah SARA meningkat kepada 14.

Pelaksanaan program Jualan Rahmah MADANI akan diadakan lebih kerap dan lebih meluas.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan Jualan Rahmah MADANI 2025 tahun ini ditingkatkan sekali ganda lagi menjadi RM600 juta, berbanding yang diumum sebelum ini RM300 juta.

Peruntukan tambahan tersebut antaranya akan menambah kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi kesemua 600 Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Selain memperbanyak jenis barangan untuk memberi pilihan yang lebih meluas kepada rakyat. Setakat ini, Sejati MADANI berjaya membenih lebih 8,600 kegiatan ekonomi komuniti di peringkat kampung.

Anwar berkata, ikhtiar MADANI di peringkat akar umbi akan terus diperhebat, selari dengan penekanan kerajaan sejak tahun lepas agar para pemimpin turun padang dan memberi tumpuan kepada usaha yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat di peringkat komuniti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram