
KERJASAMA orang ramai adalah penting bagi mencapai sasaran “Sifar Gelandangan” sebelum Tahun Melawat Johor 2026, kata Exco kerajaan negeri Johor, Khairin Nisa Ismail.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, walaupun negeri ini berjaya menempatkan sebahagian besar gelandangan ke Anjung Singgah, masih ada segelintir yang berlegar-legar di pusat bandar pada lewat malam.
“Ops Gelandangan kini dijalankan seminggu sekali. Jumlah gelandangan yang kami temui adalah jauh lebih rendah berbanding semasa program ini pertama kali dilancarkan pada Julai 2022.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Semoga kematian terbela', lelaki sayu lihat rakaman rakan sendiri melambung dirempuh kereta di Putra Height
“Mereka yang tiada tempat tinggal dibawa ke Anjung Singgah, pusat perlindungan gelandangan yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Namun, kebanyakan individu yang kami temui baru-baru ini mempunyai tempat tinggal.
"Mereka hanya memilih untuk berkumpul, minum dan tidur di laluan pejalan kaki berhampiran Dataran Bandaraya Johor Bahru dan Sungai Segget,” ujarnya.
Difahamkan, operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor dan pihak polis.
"Mereka yang kami temui biasanya diberi amaran lisan untuk pulang ke rumah.
"Kebanyakan daripada mereka menjadi penjaga tempat letak kereta untuk memperoleh wang segera, yang sering dibelanjakan untuk alkohol murah," tambah Khairin Nisa.
Gelandangan ditempatkan di Anjung Singgah, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta Orang-Orang Papa 1977.
“Kami membantu mereka mencari pekerjaan yang sesuai supaya mereka boleh berdikari.
“Mereka yang enggan bekerja pula dihantar ke Desa Bina Diri di Mersing, yang mana mereka menerima motivasi dan sokongan untuk kembali ke masyarakat,” jelasnya.
Menurutnya kerajaan negeri sedang bersiap sedia untuk membuka pusat perlindungan wanita pertama di Johor yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
“Operasi akan bermula tahun depan. Tempat perlindungan berkenaan akan menyediakan ruang selamat bagi wanita yang mencari perlindungan daripada keganasan rumah tangga atau yang sedang melalui prosiding mahkamah.
"Mereka juga akan ditawarkan peluang pekerjaan untuk membantu mereka memperoleh pendapatan," kata Khairin Nisa sambil menambah bahawa tempoh penginapan bergantung kepada keadaan individu. — The Star /REMAR NORDIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram