
LEBIH 2,000 peluang pekerjaan baharu diwujudkan apabila Sistem Alamat Nasional (NAS) yang sedang dibangunkan kerajaan dijangka memberi limpahan ekonomi bernilai RM2 bilion dalam tempoh lima tahun pada 2030.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, NAS yang dipacu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah reformasi sistem pengalamatan negara secara menyeluruh bagi menggantikan sistem sedia ada yang bercelaru dan tidak berpusat.
"Menerusi dapatan awal Kajian Pelaksanaan NAS, kesan limpahan ekonomi adalah sebanyak RM2 billion dan bakal mewujudkan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan baharu di pasaran dalam tempoh lima tahun.
BACA LAGI: KL bandar ke-12 terbaik dunia untuk pelajar 2026 — QS
BACA LAGI: Kempen Internet Selamat bantu pelajar di Keningau fahami risiko siber
Persidangan Alamat Nasional 2025 menjadi platform utama dalam memperkukuh pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) secara menyeluruh di Malaysia.
"Dengan penggunaan alamat dan koordinat lokasi yang tepat, penghantaran boleh dilakukan dengan lebih pantas, efisien dan mengurangkan risiko kesilapan penghantaran, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna." katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Persidangan selama dua hari bermula pada Rabu (16 Julai) dihadiri lebih 500 peserta daripada pelbagai sektor termasuk kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil.
Persidangan itu menjadi platform utama dalam memperkukuh pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) secara menyeluruh di Malaysia dengan tumpuan kepada dasar strategik serta amalan terbaik global dalam tadbir urus pengalamatan.
Program tersebut menampilkan sesi panel pakar, pembentangan teknikal, pameran interaktif, sesi jaringan antara agensi serta perbincangan kolaboratif demi merangka hala tuju pengurusan alamat di negara ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, NAS bertujuan memulakan wacana nasional mengenai dasar dan tadbir urus pengalamatan, memperkemas pengurusan alamat secara bersepadu, serta mengenal pasti penyelesaian inovatif bagi cabaran pengurusan alamat.
"Malaysia mempunyai lebih 12 juta alamat namun masih tiada pangkalan data nasional yang seragam, sekali gus menjejaskan keberkesanan perkhidmatan, perancangan polisi dan tindak balas kecemasan.
"Sistem NAS diiktiraf sebagai pemacu utama bagi peralihan Malaysia ke ekonomi digital yang kompetitif, menyokong pembangunan bandar pintar serta pelaksanaan sistem pintar seperti pengangkutan awam bersepadu dan pengurusan tenaga cekap.
"Sistem itu juga dijangka memberikan manfaat nyata kepada rakyat, terutama dalam sektor berasaskan lokasi seperti e-dagang, logistik dan perkhidmatan kurier," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram