
KEWUJUDAN beberapa premis perniagaan yang dipercayai diusahakan warga asing di sekitar Seremban, Negeri Sembilan menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk tempatan.
Menerusi satu perkongsian di TikTok oleh pengguna @ng, banyak premis di kawasan tersebut didakwa didominasi warga Bangladesh, lengkap dengan papan tanda dan promosi menggunakan tulisan bahasa negara itu.
Video berdurasi lebih seminit itu turut tular di pelbagai platform media sosial lain, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.
BACA LAGI : Suami ada sejarah serangan jantung ketika memandu, kereta ditemukan dalam sungai di Muar
BACA LAGI : [VIDEO] Remaja 17 tahun maut dihempap pokok ketika memancing di Ayer Baloi
Rata-rata netizen meluahkan kebimbangan terhadap operasi kedai berkenaan yang didakwa seolah-olah memonopoli kawasan tertentu, termasuk di zon perumahan dan komersial.
Malah, ada yang mempersoalkan bagaimana warga asing itu mampu menjalankan perniagaan secara terang-terangan, sedangkan permohonan lesen perniagaan sepatutnya melalui proses kelulusan yang ketat.
Seorang pengguna laman X (Twitter), @kepitsepit meninggalkan komen sinis selepas melihat video tersebut.
"Biasalah. Komen banyak-banyak pun tak ada maknanya. 'Sapu' bersih habis-habisan pun tetap akan pasti berlaku keajaiban. Esok ada balik seperti tiada apa-apa yang berlaku semalam," tulisnya.
Sementara itu, seorang lagi warga maya, @matreal turut meninggalkan komen pedas.
"Kalau orang kita lambat bayar lesen, cepat saja kena saman. Tapi yang ini siap naik papan tanda bahasa Bengali. Mana perginya penguatkuasaan?," katanya.
Orang ramai turut menggesa pihak berkuasa tempatan dan agensi penguat kuasa terlibat agar melakukan pemantauan berkala serta mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram