Tingkatan 6 di bawah KPT mampu kikis persepsi 'STPM sebagai pilihan kedua' — Persatuan guru


  • Massa
  • Jumaat, 18 Jul 2025

Tingkatan Enam merupakan program prauniversiti yang setara dengan diploma asas atau A-Level. — Gambar Hiasan

CADANGAN untuk meletakkan Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dilihat mampu memperkasakan semula imej Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang selama ini dianggap sebagai laluan akademik kurang popular dalam kalangan pelajar dan ibu bapa.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Juhari Mohamad Nor berkata, langkah tersebut berpotensi memberikan nafas baharu kepada program prauniversiti itu dan menjadikannya setaraf dengan program matrikulasi atau diploma.

"STPM selama ini sering dipandang sebagai pilihan kedua. Jika ia diletakkan di bawah KPT, masyarakat mungkin akan lebih menghargainya kerana dilihat sejajar dengan laluan pendidikan tinggi lain,” katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI : Tingkatan 6 diletakkan bawah KPT — Zambry Abdul Kadir

BACA LAGI : Kelas terapung bukan tak okey tapi tengok kesesuaian fasiliti elak mudaratkan murid — KGMMB

Jelas beliau lagi, hakikatnya, Tingkatan Enam merupakan program prauniversiti yang setara dengan diploma asas atau A-Level. 

"Ini sekali gus menjadikan pelajar Tingkatan Enam menduduki peperiksaan STPM yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

"Oleh itu, adalah lebih logik sekiranya pentadbiran dan pengurusan program ini diselaraskan di bawah KPT, yang bertanggungjawab terhadap pengajian tinggi dan laluan masuk ke universiti awam," katanya. 

Juhari Mohamad Nor

Menurut Juhari , pengurusan di bawah KPT juga akan membolehkan kurikulum Tingkatan Enam diselaraskan dengan keperluan institusi pengajian tinggi, sekali gus meningkatkan persediaan pelajar dari sudut mental dan akademik.

Tambah Juhari, penjenamaan semula Tingkatan Enam sebagai kolej prauniversiti kerajaan turut mampu mengubah persepsi umum terhadap STPM.

"Ia bukan sekadar sebahagian daripada sekolah menengah harian, tetapi boleh dijadikan pusat prauniversiti khusus dengan identiti tersendiri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar sebarang cadangan penstrukturan semula perlu diteliti secara menyeluruh agar tidak menjejaskan aspek pentadbiran, kebajikan guru serta kos pelaksanaan.

"Pelajar Tingkatan Enam masih tergolong dalam sistem pendidikan menengah. 

"Mereka berusia sekitar 17 hingga 19 tahun dan masih tertakluk kepada sistem persekolahan termasuk pemakaian seragam, peraturan disiplin, dan jadual waktu yang sama seperti pelajar sekolah menengah. 

"Oleh itu, meletakkan mereka di bawah KPT mungkin menimbulkan kekeliruan dari segi pengurusan dan dasar pentadbiran," katanya. 

Kerajaan kini dalam perancangan untuk menyelaraskan semua laluan pra universiti termasuk Tingkatan Enam di bawah pentadbiran KPT.

Tambah beliau lagi, isu berkaitan sumber manusia juga perlu diberi perhatian. 

"Sebahagian besar guru Tingkatan Enam merupakan guru pendidikan menengah yang berada dalam skim perkhidmatan KPM. 

"Sekiranya cadangan ini dilaksanakan, kemungkinan besar mereka perlu melalui proses peralihan yang kompleks atau menukar skim perkhidmatan. 

"Hal ini boleh mengundang pelbagai implikasi termasuk ketidakpastian kerjaya, kekeliruan dalam kenaikan pangkat, serta peningkatan beban pentadbiran," ujarnya.

Susulan itu, Juhari mencadangkan KPM dan KPT mungkin boleh menggunakan pendekatan kerjasama antara satu sama lain. 

"Sebagai contoh, KPM boleh terus mengurus operasi harian Tingkatan Enam manakala KPT terlibat dalam aspek pembangunan kurikulum, latihan kemahiran insaniah, serta penyediaan laluan kemasukan ke universiti. 

"Selain itu, penjenamaan semula Tingkatan Enam sebagai kolej prauniversiti kerajaan juga boleh dipertimbangkan, tanpa perlu menukar struktur kementerian sepenuhnya," katanya. 

Menutup bicara, Juhari berkata cadangan untuk meletakkan Tingkatan Enam di bawah KPT mempunyai rasional tersendiri dari sudut fungsinya sebagai laluan prauniversiti. 

"Namun, dari aspek pelaksanaan dan logistik, banyak isu teknikal yang masih perlu diteliti dan diselesaikan. 

"Pendekatan kerjasama antara KPM dan KPT dilihat sebagai pilihan yang lebih realistik dan praktikal demi kebaikan pelajar dan sistem pendidikan negara secara keseluruhannya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram