[VIDEO] 'Dulu Kota Raya, kini TBS pula', warga asing buat hal jadikan terminal Bandar Tasik Selatan 'rumah kedua'


  • Tular
  • Isnin, 03 Feb 2025

Tangkap layar memaparkan segelintir warga asing duduk santai sambil menikmati pemandangan di kawasan berumput di luar TBS tersebut.

TERMINAL Bersepadu Selatan (TBS) yang berlokasi di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur terus menjadi tumpuan gelandangan warga asing yang dipercayai menjadikannya sebagai tempat berteduh dan mencari rezeki secara haram.

Keadaan itu bukanlah isu baharu, malah sering dibangkitkan oleh masyarakat dalam pelbagai platform media sosial. Namun, sehingga kini, penyelesaian menyeluruh masih belum dilaksanakan secara berkesan.

Terbaharu, seorang warga maya meluahkan rasa geram dan kecewa apabila mendapati segelintir warga asing duduk bersantai sambil menikmati pemandangan di kawasan berumput di luar premis tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Leka jawab panggilan telefon ketika bertugas, pekerja kilang di Pakistan maut 'ditelan' mesin kertas

BACA LAGI: [VIDEO] Nasib tak kena telan, gadis duyung hampir dimakan ikan gergasi dalam akuarium di China

Malah, kehadiran golongan warga asing itu turut menimbulkan rasa kurang selesa apabila ada dalam kalangan mereka yang didakwa membuang sampah sesuka hati.

Menurut seorang warga maya yang juga pengguna tetap TBS, @Azman_Ismail, kehadiran golongan warga asing itu menimbulkan rasa kurang selesa.

"Saya selalu menggunakan perkhidmatan bas di sini dan hampir setiap kali, saya melihat mereka tidur di sini atau bersantai di luar," dakwanya.

Sementara itu, seorang lagi warga maya, @Qistina_we pula berharap agar pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera berhubung masalah lambakan warga asing di TBS.

"Pihak berkuasa, khususnya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan polis perlu mengambil langkah lebih tegas untuk menangani masalah ini.

"Mereka semakin ramai, malah ada yang sudah berkeluarga. Hantar mereka pulang ke negara asal. TBS bukan tempat warga asing," tulisnya.

Seorang lagi warga maya, @Hope^^ menyifatkan keadaan itu tak ubah seperti keadaan di Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur.

"Sejujurnya, keadaan TBS dah macam kawasan di Kompleks Kota Raya. Esok lusa ada la yang menjual sirih di kawasan itu.

"Kawan aku yang lelaki cerita, warga asing ini siap mandi dalam tandas, seronok hidup mereka, semua percuma. dah macam 'rumah kedua' mereka TBS ini," tulisnya.

TBS merupakan hab pengangkutan utama yang menghubungkan pelbagai destinasi di Malaysia.

Oleh itu, tindakan yang lebih tegas dan berkesan perlu diambil bagi memastikan terminal tersebut kekal selesa dan selamat untuk semua pengguna. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram