Piala Dunia bukan tiket jaminan, 3 ex import termasuk bintang EPL Sabah FC 'karam' di Liga Super


  • Podium
  • Jumaat, 18 Jul 2025

(Dari kiri) Do-Heon, Jerry Palacios dan El Hadji Diouf antara nama besar yang pernah mewarnai Liga Malaysia suatu ketika dahulu. — Agensi

MEWARNAI pentas Piala Dunia adalah antara pencapaian tertinggi buat mana-mana pemain bola sepak profesional.

Ia bukan sekadar mengangkat martabat individu, bahkan turut membuka ruang luas untuk beraksi di liga luar negara, termasuk Liga Malaysia (Liga M).

Namun, tidak semua bintang Piala Dunia mampu mengekalkan reputasi mereka apabila beraksi dalam saingan tempatan yang menuntut keserasian pantas, daya tahan fizikal dan kemampuan menyesuaikan diri dengan gaya permainan tempatan.

BACA LAGI: ‘Koyak’ di Thailand, 3 import baharu boleh isi 2 komponen lemah The Rhinos lagi-lagi bahagian tengah

BACA LAGI: Rebah 2 kali di bumi Thailand, Katsuhito Kinoshi perlu segera cari pengganti Orozco, Safuwan

Dalam sejarah Liga M, beberapa nama besar pernah mencetuskan keterujaan apabila diumumkan sebagai pemain import dengan harapan mereka mampu membawa perubahan besar.

Namun hakikatnya, beberapa nama gah ini sekadar menjadi pelengkap skuad dan gagal menyerlah seperti yang dijangka. Berikut tiga pemain yang pernah beraksi di Piala Dunia tetapi gagal mencipta impak dalam kancah bola sepak tempatan.

1. Kim Do-Heon (Negeri Sembilan FC)

Do-heon (kiri) ketika sedang mengasak Namathevan dalam aksi Liga Super 2018 di Stadium Cheras, KL. — Media Sosial

Bekas pemain tengah Korea Selatan, Kim Do-Heon, menyertai Negeri Sembilan pada musim Liga Super 2018 dengan reputasi besar sebagai pemain antarabangsa yang pernah menyertai skuad Piala Dunia 2006 di Jerman.

Walaupun banyak menghabiskan masa di bangku simpanan ketika kejohanan itu, pengalaman luasnya bersama kelab-kelab seperti Seongnam Ilhwa dan West Bromwich Albion di Liga Perdana Inggeris dianggap nilai tambah besar buat Negeri Sembilan.

Do-Heon yang menggalas tugas sebagai pemain tengah pada ketika itu turut diberi kepercayaan sebagai kapten pasukan, namun gagal membawa pasukan keluar daripada krisis prestasi.

Negeri Sembilan menamatkan musim di kedudukan tercorot Liga Super dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan liga utama.

Sepanjang semusim bersama skuad Jang, Do-Heon diturunkan sebanyak 14 kali secara keseluruhan namun tidak menjaringkan sebarang gol.

2. Jerry Palacios (Angkatan Tentera Malaysia FA)

Pemain ATM, Jerry Palacios (kiri) cuba menghalang pergerakan Fadzly Mazlan dalam aksi Liga Super pada 2015. — Gambar/ Khalis Imran/Gawang.my

Abang kepada bekas pemain Tottenham Hotspur, Wilson Palacios, ini merupakan antara nama penting dalam skuad Honduras di Piala Dunia 2010 dan 2014.

Dengan pengalaman luas di peringkat antarabangsa, Jerry Palacios disambut meriah apabila menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada musim Liga Super 2015.

Kehadirannya diharap mampu memantapkan jentera serangan ATM yang ketika itu bergelut dengan prestasi tidak menentu.

Namun, persembahannya di atas padang jauh daripada apa yang diharapkan, dan dia gagal mengangkat prestasi keseluruhan pasukan.

Akhirnya, ATM menamatkan musim dengan keputusan mengecewakan apabila tersingkir ke Liga Premier, sekali gus menamatkan kempen di tangga kedua tercorot.

3. El Hadji Diouf (Sabah FC)

Diouf bermain selama semusim bersama Sabah FC pernah mencetuskan kontroversi apabila memuji JDT. — Gambar/Agensi

Nama El Hadji Diouf merupakan penyerang lincah yang menjadi watak penting kejayaan mengejut Senegal ke suku akhir Piala Dunia 2002 ini pernah beraksi dengan kelab-kelab ternama seperti Liverpool dan Bolton Wanderers di England.

Namun, ketika menyertai Sabah FC dalam saingan Liga Premier 2015, aura dan ketajamannya sudah tidak seperti dahulu.

Kecederaan yang berulang-ulang membataskan sumbangannya di atas padang, malah masa permainannya sangat terhad sepanjang musim.

Walaupun kehadirannya membawa publisiti besar kepada skuad Sang Badak dan Liga M secara keseluruhan, hakikatnya impak Diouf lebih banyak dirasai di luar padang berbanding sumbangan terhadap keputusan perlawanan.

Lebih memburukkan keadaan, Diouf bermain selama semusim bersama Sabah FC pernah mencetuskan kontroversi apabila memuji Johor Darul Ta'zim (JDT) serta menyatakan secara terbuka mahu menyertai kelab Harimau Selatan itu tanpa sebarang bayaran walaupun masih menyarung jersi kelab Borneo tersebut.

Disebabkan sikap tidak profesionalnya, Sabah menarik balik lilitan kapten dan tidak menyambung kontrak pemain itu pada musim berikutnya.

Kisah tiga pemain ini membuktikan bahawa status ‘bintang Piala Dunia’ bukanlah jaminan kepada kejayaan automatik dalam saingan Liga Malaysia.

Sebaliknya, penyesuaian terhadap cuaca, struktur latihan, tekanan kelab dan kehendak taktikal menjadi faktor penentu utama kepada keberkesanan pemain import. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram