
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan melantik Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada Khamis, pelantikan itu dibuat mengikut Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Perdana Menteri dan selepas rundingan dengan Majlis Raja-Raja.
Turut dilantik ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan penyandang yang bakal bersara.
BACA LAGI : Pemantul cahaya lebih efektif berbanding buluh, elak tragedi Sungai Korok-pempengaruh Ija berulang — Pakar
BACA LAGI : [VIDEO] 'Ini Kepong aku punya', pemuda berlagak ‘abang kawasan’ mengamuk ketika operasi DBKL
Majlis angkat sumpah dan penyerahan surat pelantikan akan diadakan pada 28 Julai ini di Istana Negara.
Sebelum ini, Wan Ahmad Farid disebut-sebut sebagai calon utama mengisi jawatan Ketua Hakim Negara yang kosong susulan persaraan wajib Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 2 Julai lalu.
Ketika ini, jawatan itu dipangku sementara oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.
Wan Ahmad Farid, 62, dilantik ke Mahkamah Rayuan pada 12 November 2024.
Beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 19 Mac 2008 hingga 9 April 2009.
Bekas ahli Umno itu turut bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu pada 2009 namun tewas, sebelum mengumumkan persaraan daripada politik pada 2013.
Antara kes penting yang pernah dikendalikannya termasuk permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock terhadap pihak polis dan cabaran Tun Daim Zainuddin terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram