[VIDEO] Hidupkan kembali budaya makan sirih dan simpan keris, bukan setakat simpan muzium — Cucu Mat Kilau


  • Massa
  • Ahad, 04 Mei 2025

Makan daun sirih dan menyimpan keris antara amalan yang perlu dihidupkan dalam kalangan generasi kini. — Gambar hiasan

PADI menguning di hujung bendang,

Datang petani membawa guni.

Adat dijunjung sudah terbuang,

Diganti dengan cara hidup terkini.

Itulah pantun sesuai untuk menggambarkan rasa kehilangan terhadap adat dan budaya tradisional yang semakin hilang dan dipinggirkan.

Ringkas namanya, namun sirih dan keris ternyata merupakan antara elemen penting terutama dalam budaya masyarakat Melayu.

Selain menjadi lambang identiti, ia juga satu amalan yang mencerminkan keharmonian dan perpaduan.

BACA LAGI: Selain tambah pahala, sunat hukumnya bagi suami tunai solat 2 kali semata mahu jemaah dengan isteri

BACA LAGI: Amalan ‘bertapa’ seorang diri tiada kaitan mistik, ilmu silat banyak bergantung pada doa

Sirih juga sering disertakan dalam majlis perkahwinan. — Gambar hiasan

Makan sirih

Makan daun sirih merupakan amalan tradisional yang diamalkan sejak turun-temurun dalam kalangan masyarakat Melayu, India serta beberapa etnik lain di Asia Tenggara.

Memakannya dengan lengkap adalah dicampur dengan bahan lain seperti pinang, kapur dan kadangkala gambir atau tembakau.

Kebiasaannya, ia tidak menjadi kewajipan dan hanyalah aktiviti santai ketika berkumpul bersama keluarga.

Daun sirih juga sering menjadi simbolik dalam majlis adat seperti perkahwinan dan silat.

Namun, tanpa sedar amalan itu dilihat semakin pudar dan jarang dilakukan oleh golongan muda generasi kini.

Mengambil serius tentang perkara itu, Yang Dipertua Seni Silat Tapak Setia Suci Warisan Mat Kilau, Mohd Al-Hamadi Abu Bakar mengambil langkah untuk terus memperjuangkannya.

Mohd Al-Hamadi yang juga merupakan cucu kepada pahlawan Mat Kilau dan Guru Besar di sebuah sekolah di Kuantan, Pahang itu juga mengambil pendekatan dengan memperkenalkannya kepada kanak-kanak di persatuan silat serta sekolah serata Malaysia.

Mohd Al-Hamadi Abu Bakar

"Saya nak tunjuk dan mahu generasi baharu ini untuk merasai salah satu makanan orang Melayu zaman dahulu sebab nampak ramai kanak-kanak yang terus muntah bila makan sirih.

"Sirih juga sebenarnya merupakan lambang keharmonian. Sebab itu, orang Melayu biasanya kalau nak bertunang atau merisik bawa sirih junjung.

"Ia bermakna menuju kemuncak kejayaan. Itulah maksud sirih, sama juga dengan dunia silat.

"Kami akan bagi pesilat tak kira kanak-kanak hingga dewasa untuk makan sirih.

"Tetapi, bukanlah makan sirih boleh beri tenaga atau mengenyangkan, cuma ia sekadar simbol adat dan semangat," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, makan sirih juga mempunyai manfaat kesihatan seperti  dapat mengurangkan tekanan darah jika tidak diambil secara berlebihan.

Simpan keris

Selain sirih, menyimpan keris di dalam rumah juga katanya amat penting iaitu sebagai alat pelindung ketika waktu kecemasan. 

Mohd Al-Hamadi berkata, ia juga menjadi lambang penting bukan sahaja dalam silat, bahkan dalam masyarakat umum. 

Keris juga menunjukkan simbol kekuatan dan perjuangan secara tradisionalnya.

"Keris ini bukan sekadar senjata, tetapi lambang kekuatan, keindahan dan maruah bangsa.

"Biasa diletakkan di pinggang sebagai satu simbol perwira atau pejuang kalau dalam kalangan pesilat," jelasnya. 

Katanya, pelbagai persepsi negatif yang sering mengaitkan keris dengan perkara mistik secara tidak langsung membuatkan masyarakat takut.

Bagi beliau, ia sungguh menyedihkan apabila keris yang dahulunya menjadi tanda jati diri dan perjuangan, kini hanya tinggal sebagai barang perhiasan atau koleksi antik.

"Ramai yang tak tahu bahawa keris sebenarnya pengganti senjata moden seperti pistol atau senapang.

"Sekurang-kurangnya satu keris mesti disimpan dalam rumah," katanya sambil menambah bahawa ia juga perlu digunakan dengan berhemah dan bukan bertujuan melakukan jenayah. 

Justeru, beliau menggesa orang ramai agar tidak mudah melupakan warisan berharga itu dalam kehidupan seharian.

Tambahnya, warisan bukanlah untuk disimpan atau dipersembahkan di muzium sahaja, tetapi juga perlu dihidupkan dalam jiwa dan perbuatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram