
SEKUMPULAN individu yang bertindak membuang sampah ke dalam dan tepi sungai di Taman Sri Plentong, Masai, Johor pada Rabu lalu dikenakan tindakan tegas oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, syarikat terlibat membuang sampah itu juga dikompaun sebanyak RM1,000.
MBJB juga mengenakan dua kompaun bernilai RM500 setiap satu selepas siasatan dibuat terhadap lori syarikat berkenaan susulan rakaman video insiden berkenaan tular di media sosial.
BACA LAGI: Lelaki terkejut jumpa serpihan kaca dalam soto, bengang respons pemilik mengaku pengisar pecah
"Hasil siasatan MBJB dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mendapati lokasi pembuangan sampah berkenaan adalah di persimpangan masuk ke Kampung Makmur, Plentong iaitu di Jalan Kemunting, Taman Sri Plentong.
"Siasatan kemudian dijalankan terhadap lori yang terbabit dalam insiden berkenaan.
"Hasilnya, pihak berkuasa telah mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya iaitu mengeluarkan dua kompaun terhadap syarikat yang terbabit di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Seksyen 47(1)(A) pagi Jumaat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, pihak SWCorp juga berhak mengambil tindakan lanjut di bawah peruntukan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang membolehkan kompaun bernilai lebih tinggi dikenakan serta membolehkan pihak terbabit didakwa di mahkamah.
Terdahulu, tindakan tidak bertanggungjawab itu berjaya dirakam dan tular di media sosial.
Ia sekali gus menimbulkan kemarahan dan kebimbangan orang ramai terhadap pencemaran sungai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram