
SOLAT berjemaah merupakan antara amalan yang sangat dituntut dalam Islam.
Ia bukan semata-mata menyempurnakan rutin, tetapi juga menjadi simbol kesatuan, kekuatan ukhuwah serta disiplin dalam kalangan umat Islam.
Menunaikan solat secara berjemaah juga memberi pelbagai manfaat, bukan sahaja dari sudut rohani, bahkan dapat membentuk peribadi dan masyarakat yang harmoni.
BACA LAGI: Buat ‘eyelash lifting’ harus cuma jangan sampai tabaruj! Guna inai pun dianggap berlebih-lebihan
Kaum lelaki digalakkan untuk menunaikan solat berjemaah di masjid atau surau. — Gambar hiasan/Agensi
Kebiasaannya, kaum lelaki amat digalakkan untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid atau surau.
Namun, menjadi persoalan apabila sekiranya lelaki tersebut sudah berkahwin dan tidak mahu terlepas untuk menjadi imam kepada isterinya di rumah.
Adakah dibenarkan untuk mereka menunaikan solat sebanyak dua kali iaitu berjemaah di masjid dan melakukannya sekali lagi di rumah bersama isteri atau keluarga?
Berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar RA, pada asalnya, hukum solat fardhu sebanyak dua kali bagi satu waktu tanpa sebarang keperluan adalah makruh.
لَا تُصَلُّوا صَلَاةً فِي يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ
Maksudnya: Janganlah kamu solat fardhu sebanyak dua kali dalam sehari.
Hukum makruh mengulangi solat fardhu tanpa sebarang sebab itu juga sudah diterangkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Ruwaihah dan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah.
Jika untuk mendapat pahala jemaah, maka disunatkan untuk diulangi semula bersama jemaah yang didapatinya sama seperti pandangan mazhab Maliki dan Syafi’e.
Menunaikan solat berjemaah bersama isteri juga dapat menambahkan pahala. — Gambar hiasan/Agensi
Selain itu, terdapat juga hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri, beliau meriwayatkan:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَبْصَرَ رَجُلاً يُصَلِّي وَحْدَهُ فَقَالَ " أَلاَ رَجُلٌ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ
Maksudnya: Rasulullah SAW melihat seorang lelaki solat secara sendirian, maka baginda bersabda, 'tidak adakah seseorang yang boleh bersedekah (pahala) kepadanya, dan solat bersamanya?'
Sunan Abi Dawud (574)
Terdapat juga hadith daripada Mu’az bin Jabal RA:
كَانَ يُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ يَرْجِعُ فَيَؤُمُّ قَوْمَهُ
Maksudnya: Beliau bersolat (Isyak) bersama Nabi SAW, kemudian pulang dan mengimamkan kaum beliau untuk solat Isyak.
Secara keseluruhannya, Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron menjelaskan bahawa menunaikan solat fardhu secara dua kali dibolehkan.
"Ia dibolehkan dan ada pandangan melihat ia sunat untuk bantu pahala berjemaah," katanya kepada Majoriti.
Justeru, seorang lelaki berstatus suami dibenarkan untuk menunaikan solat berjemaah bersama isteri di rumah meskipun sudah melakukanya di masjid. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram