[VIDEO] 'ALLAHUAKBAR', ibu hanya mampu mengucap takbir lihat anak lelaki 12 tahun ditemukan lemas di Baling


  • 112
  • Isnin, 12 Mei 2025

Muhammad Aqil (gambar kecil) ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian pada pukul 1.31 tengah hari Isnin. — Gambar/Orang Awam

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dilaporkan tenggelam ketika mandi bersama lapan rakannya di Sungai Felda Teloi Kanan dekat Baling, Kedah ditemukan lemas pada Isnin. 

Menurut laporan Buletin TV3, Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali berkata, Muhammad Aqil Fitri Hishamudin dilaporkan tenggelam ketika mandi bersama lapan rakannya di Sungai Felda Teloi Kanan pada Ahad. 

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian pada pukul 1.31 tengah hari Isnin.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim, Kedah untuk tindakan lanjut," katanya pada Isnin.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Mak Su di ICU', netizen buat kerja, pemilik pikap langgar lari suami isteri di NKVE dikesan, siap tutup akaun Facebook

BACA LAGI :  [VIDEO] 'Luluh hati seorang ibu', budak perempuan 7 tahun ditemukan lemas di Sungai Balok

Sementara itu, Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) menghadapi kesukaran disebabkan air sungai yang keruh dan dasar sungai yang tidak sekata.

"Dasar sungai yang tidak rata, dengan kedalaman antara 0.5 hingga enam meter, menyukarkan pergerakan bot penyelamat," katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa ditemui dalam keadaan menelungkup, namun aliran arus sungai tidak terlalu deras.

"Penemuan jasad hasil kaedah pengapungan yang dilaksanakan jurumudi bot bomba, selain membuat pusingan di permukaan air bagi membantu menaikkan mangsa," katanya lagi.

Tambah beliau, penemuan turut dipermudah dengan maklumat orang awam yang melihat jasad mangsa terapung sebelum dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB).

Insiden tragis itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video yang memaparkan suasana pilu di lokasi kejadian.

Dalam video berkenaan, kedengaran ibu mangsa menangis teresak-esak sambil mengucap takbir ALLAHUAKBAR berulang kali sejurus melihat jasad anaknya dibawa naik ke atas bot oleh anggota penyelamat. 

Tangisan dan rintihan sayu si ibu nyata menyentuh hati ramai, hingga mengundang rasa hiba dalam kalangan warganet yang turut bersimpati dengan nasib menimpa keluarga mangsa.

Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa sedih dan mengucapkan takziah, selain mendoakan agar keluarga mangsa diberi kekuatan menghadapi ujian berat itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram