
"TERIMA kasih sebab datang hari ini. Kasut kamu koyak, tapi semangat kamu lebih kuat daripada ramai yang lain."
Itu luahan ikhlas seorang guru, Hilmi Salleh, kepada seorang murid lelaki yang tetap hadir ke sekolah meskipun kasut yang dipakai koyak teruk dan hampir tertanggal tapaknya.
Kisah menyentuh hati itu dikongsikan sendiri oleh Hilmi menerusi satu catatan di Facebook miliknya, yang kini tular dan menyentuh hati warga maya.
BACA LAGI : [VIDEO] 'ALLAHUAKBAR', ibu hanya mampu mengucap takbir lihat anak lelaki 12 tahun ditemukan lemas di Baling
BACA LAGI : [VIDEO] 'Luluh hati seorang ibu', budak perempuan 7 tahun ditemukan lemas di Sungai Balok
Menurutnya, kejadian itu berlaku sewaktu dia sedang melakukan pemantauan rutin perhimpunan pagi di sekolah.
"Saya lihat barisan murid tersusun kemas, cahaya pagi memancar cerah. Tapi pandangan saya terhenti pada sepasang kasut yang uzur dan tapaknya sudah ternganga, tepi koyak teruk.
"Saya panggil murid itu perlahan. Dia datang tunduk, tak berani pandang mata.
"Bila saya tanya sama ada dia sedar kasutnya koyak, dia angguk perlahan dan jawab, 'Tahu cikgu. Tapi ayah belum mampu beli yang baru. Saya pakai juga, sebab saya tak nak ponteng sekolah'," tulisnya menggambarkan situasi sayu itu pada Ahad.
Hilmi mengakui, jawapan jujur murid itu menyebabkan hatinya sebak dan hampir menitiskan air mata.
"Masa itu, hati saya jatuh hancur. Dalam diam, saya tahan air mata.
"Anak ini berdiri di perhimpunan seperti murid lain tetapi dengan tapak kasut yang hampir terlerai dan semangat yang tetap utuh.
"Mereka hadir bukan dengan sempurna, tetapi dengan keazaman yang tak semua orang mampu fahami," tulisnya lagi.
Perkongsian menyentuh hati itu turut disertakan dengan refleksi Hilmi bahawa pendidikan bukan hanya tentang kehadiran fizikal ke sekolah, tetapi lebih besar daripada itu tetapi ia adalah tentang semangat untuk terus melangkah meskipun serba kekurangan.
Hantaran tersebut menerima reaksi positif daripada pengguna media sosial, dengan ramai memuji sikap cekal murid berkenaan serta keprihatinan guru terhadap anak didiknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram