[VIDEO] 'Biar miskin, jangan jadi scammer', mangsa kongsi pengalaman ditipu menerusi pautan WhatsApp


  • Tular
  • Khamis, 08 Mei 2025

Tangkap layar sebuah rumah yang dipercayai menjadi tempat operasi individu di sebalik aktiviti penipuan dalam talian membabitkan pautan palsu di aplikasi WhatsApp.

SEORANG pengguna media sosial sempat merakam muka individu yang dipercayai menjadi dalang di sebalik aktiviti penipuan dalam talian membabitkan pautan palsu di aplikasi WhatsApp.

Pengguna terbabit yang hanya dikenali sebagai Saud.ishak berkongsi pengalamannya di laman Thread selepas terpedaya dengan satu pautan yang diterimanya menerusi mesej WhatsApp.

Menurut Saud, dia tidak menyedari pautan mesej yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp tersebut merupakan pautan palsu dan terus menekannya.

BACA LAGI: Selari dengan amalan biasa, Ayob Khan pilihan tepat untuk ketuai PDRM — Penganalisis Jenayah

BACA LAGI: 'Nama universiti pun tak tulis', waspada mesej scammer tawaran sambung belajar, target komuniti Sarawak

Sejurus itu, aplikasi WhatsApp di telefonnya terus ditamatkan serta-merta.

"Bila kau tertekan link forward scam dekat WhatsApp dan terus WhatsApp jadi scammer yang punya.

"Kau punya WhatsApp terus diorang sign out," katanya.

 

 

Menyedari sesuatu tidak kena, Saud segera cuba membuat panggilan video ke nombor terbabit dan terkejut apabila panggilannya dijawab oleh seorang individu tidak dikenali.

"Saya cuba video call dan mereka angkat. Mujur aku sempat rakam sebagai bukti," katanya lagi.

Dalam video yang dimuat naik, kelihatan suspek berada di dalam sebuah rumah yang kelihatan daif, namun dipercayai menjadi pusat aktiviti penipuan tersebut.

Wajah individu yang menjawab panggilan itu juga turut kelihatan, menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Ishak dalam hantarannya turut memberi pesanan tegas kepada orang ramai.

"Biar miskin. Jangan jadi scammer," tulisnya lagi.

Kejadian tersebut mendapat perhatian warga maya yang turut berkongsi pengalaman hampir serupa di mana mereka tertipu dengan helah pautan palsu yang menyamar sebagai mesej daripada rakan atau kenalan.

Susulan kejadian itu, warga maya turut menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera bagi menyiasat kes ini dan mengesan dalang di sebalik sindiket tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram