
SEORANG penunggang motosikal dari Kedah terkejut apabila menerima saman perangkap had laju (speed trap) kereta yang dikeluarkan di Sarawak, sedangkan kenderaannya tidak pernah berada di negeri berkenaan.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, individu dikenali sebagai Saiful Mat Saad memaklumkan bahawa saman tersebut melibatkan nombor pendaftaran hampir serupa, namun kenderaan yang terlibat adalah sebuah kereta jenis Perodua Aruz dan bukan motosikal jenis Yamaha NVX miliknya.
"Assalamualaikum, sekadar bertanya kerana saya kena saman atas kenderaan orang lain. Nombor pendaftaran salah, motosikal saya SYG85**, yang salah kereta SYG65**. Saya di Kedah, kereta tu di Bintulu, Sarawak," katanya dalam hantaran tersebut yang tular di laman media sosial sejak Isnin.
BACA LAGI : Selari dengan amalan biasa, Ayob Khan pilihan tepat untuk ketuai PDRM — Penganalisis Jenayah
BACA LAGI : Paksa warga emas bagi sedekah guna QR di hospital, penduduk Sibu desak polis segera bertindak
Insiden itu mengundang pelbagai reaksi dan nasihat daripada netizen yang pernah mengalami situasi serupa.
Seorang pengguna, Razali Rambli, berkongsi beberapa langkah yang boleh diambil bagi menyelesaikan isu terbabit.
"Ambil gambar kenderaan tuan dari pelbagai sudut, fotostat geran kenderaan dan dokumen berkaitan.
"Tulis surat rasmi perakuan, buat laporan polis, kemudian bawa semua ke cawangan trafik berdekatan.
"Insya-ALLAH sebulan dua, settle (kes selesai)," katanya berdasarkan pengalamannya sendiri.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Firr Hazz, turut berkongsi tip berdasarkan pengalaman menguruskan saman miliknya yang berhadapan dengan situasi yang serupa.
"Pergi trafik bawa kad pendaftaran, cetak gambar motor dan fotostat kad pengenalan pemilik.
"Saya pernah urus saman kereta di Selangor tapi lori syarikat berada di Kuching, Sarawak," jelasnya.
Isu nombor pendaftaran hampir serupa yang menyebabkan kekeliruan seperti ini sering berlaku dan pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menyemak saman secara berkala serta menyimpan dokumen kenderaan dengan lengkap bagi memudahkan urusan rayuan atau pembatalan saman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram