Selari dengan amalan biasa, Ayob Khan pilihan tepat untuk ketuai PDRM — Penganalisis Jenayah


  • Massa
  • Jumaat, 02 Mei 2025

Razarudin akan tamat tempoh kontrak sebagai Ketua Polis Negara pada Jun ini.

JAWATAN Ketua Polis Negara (KPN) yang disandang Tan Sri Razarudin Husain, 62, secara kontrak selama dua tahun sejak 2023 dijangka tamat pada Jun ini, sekali gus mencetuskan teka-teki dan spekulasi dalam kalangan pemerhati keselamatan serta masyarakat umum mengenai siapa yang bakal menggantikan beliau.

Sebagai individu nombor satu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemilihan pengganti Razarudin dilihat penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan, kestabilan institusi dan kelancaran pelaksanaan dasar keselamatan negara.

Mengikut struktur hierarki dalam PDRM, Timbalan Ketua Polis Negara lazimnya akan dilantik menggantikan Ketua Polis Negara yang bersara. 

BACA LAGI : Jaga ibu bapa uzur, hidup lebih lama antara faktor wanita kurang 'saving' berbanding lelaki — Penasihat kewangan

BACA LAGI : Dari hujah mahkamah ke doa liang lahad, Siti Rasidah teruskan legasi ibu galas tugas uruskan jenazah

Ketika ini, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang memegang jawatan tersebut dilihat sebagai calon paling hampir dan berpotensi besar.

Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, pelantikan Ayob Khan selari dengan amalan biasa dalam pasukan polis dan perlu dihormati bagi menjaga kepercayaan masyarakat terhadap sistem sedia ada.

"Kalau kita ikut struktur sejak dulu, Timbalan Ketua Polis Negara akan menggantikan Ketua yang bersara. Ini penting untuk menjaga imej dan kesinambungan dalam pasukan. 

"Andai orang luar daripada hierarki dilantik, ia boleh mencetuskan persoalan dalam kalangan rakyat dan pegawai sendiri," katanya kepada Majoriti.

Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim

Menurut beliau, Ayob Khan bukan sahaja berada dalam kedudukan yang wajar dari segi pentadbiran, malah memiliki rekod perkhidmatan cemerlang termasuk dalam Bahagian Counter-Terrorism dan semasa mengetuai Polis Johor.

"Beliau seorang yang tegas, berintegriti dan mempunyai pengalaman luas. 

"Semasa di Johor, beliau memainkan peranan penting dalam mengekang jenayah, menjaga imej PDRM serta berani mengambil tindakan dalam isu-isu besar," katanya.

Shahul berkata, sekiranya kerajaan memutuskan untuk melantik calon dari luar susunan sedia ada, langkah itu berisiko menjejaskan persepsi awam terhadap profesionalisme dan ketelusan dalam pasukan polis.

"Bukan soal siapa yang layak atau tidak, tetapi soal menghormati struktur dan membina keyakinan rakyat. 

"Jika Ayob Khan dinaikkan, ia bukan sahaja pilihan logik, malah bijak dari sudut pengurusan institusi keselamatan," katanya lagi.

(file pix) Deputy Inspector-General of Police Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (261223). — LOW LAY PHON/The Star

Ayob Khan memiliki rekod perkhidmatan cemerlang termasuk dalam Bahagian Counter-Terrorism dan semasa mengetuai Polis Johor.

Terdahulu, media melaporkan beberapa nama lain turut disebut-sebut sebagai calon KPN baharu iaitu Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail. 

Untuk rekod, Razarudin dilantik memegang jawatan KPN pada 23 Jun 2023, menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang bersara wajib. ​

Tempoh perkhidmatan KPN adalah sehingga umur persaraan wajib iaitu 60 tahun, namun boleh dilanjutkan dalam keadaan tertentu.​

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, pelantikan KPN dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, berdasarkan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram