
DALAM era digital yang serba pantas ini, nilai adab dan empati dalam kalangan masyarakat dilihat semakin terhakis apabila gambar seorang lelaki yang sedang menangis pilu akibat kehilangan lima orang anak dalam tragedi tsunami 2004 telah disunting dan disalah guna individu yang tidak bertanggungjawab.
Lebih mengecewakan lagi, gambar itu turut dijadikan bahan gurauan di media sosial.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu mencerminkan sikap segelintir individu yang sanggup meraih hiburan tanpa mengambil kira latar belakang dan penderitaan sebenar insan dalam gambar berkenaan.
BACA LAGI : Mayat 2 beradik Orang Asli lemas di Sungai Kelantan ditemukan hanyut lebih 35km
BACA LAGI : Selari dengan amalan biasa, Ayob Khan pilihan tepat untuk ketuai PDRM — Penganalisis Jenayah
Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook, Syed Mohamad Nazli Syed Ahmad Jamalullail, mangsa dalam foto tersebut ialah Zulkifli Mohd Noor dari Pondok Upeh dekat Balik Pulau, Pulau Pinang.
Tulisnya, pada waktu kejadian, gambar rakannya itu dirakam dalam keadaan sugul ketika berkongsi detik hitam yang meragut nyawa keluarganya pada wartawan.
"Gambar itu dirakam sewaktu saudara Zul berkongsi kisah pilu kehilangan anak-anaknya dalam tragedi tsunami. Ia bukan gambar biasa untuk dijadikan bahan gurauan.
"Lima anak Zulkifli yang terkorban dalam tragedi tersebut ialah Siti Nurain, 17, Mohd. Shukri, 12, Siti Nur Shuhada, 10, Siti Nur Atikah, 9, dan Siti Suraya, 5.
"Hanya dua anaknya terselamat iaitu Siti Fairuz, 16, dan Siti Zulaikha, yang ketika itu baru berusia satu tahun," katanya.
Tambahnya lagi, walaupun gurauan boleh diterima dalam kehidupan seharian, ia harus dilakukan secara berhemah tanpa menyentuh sensitiviti individu lain, apatah lagi yang melalui pengalaman pahit seperti kehilangan ahli keluarga.
Syed Mohamad turut menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan gambar individu yang tidak dikenali bagi sebarang tujuan tanpa mengetahui konteks sebenar di sebaliknya.
"Ya, mungkin yang melakukannya tidak tahu siapa, dan kenapa saudara Zul bersedih sebegitu, justeru saya nasihatkan kita seeloknya tidak begitu mudah menggunakan gambar orang orang yang tidak kita kenali untuk apa tujuan sekalipun," katanya menutup perbualan.
Hantaran itu turut menjadi tular dan menjadi peringatan kepada semua agar tidak sewenang-wenangnya mengambil hak orang lain, apatah lagi yang sedang berduka, untuk dijadikan bahan hiburan di alam maya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram