[VIDEO] Pernah terima 'bungkusan' tongkeng ayam dan rambut, Wan Azmir anggap hanya mainan psikologi takutkan peguam


  • Bizz
  • Ahad, 11 Ogos 2024

Peguam itu banyak mengendalikan perkara yang menjadi perbalahan seperti saman fitnah, probet dan surat pentadbiran, perceraian serta pertikaian perkahwinan.

KREDIBILITI Datuk Wan Azmir Wan Majid sebagai peguam sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Melangkah ke sebuah firma yang terletak di Menara MARA, Kuala Lumpur dan bersemuka secara empat mata, penulis dapat merasai aura luar biasa lelaki berusia 45 tahun itu.

Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Menginspirasikan bapanya yang juga seorang peguam, Wan Azmir mula meminati lapangan undang-undang sejak berusia 16 tahun lagi.

BACA LAGI: Dari mekanik jadi tauke kopi terkemuka, Muhamad Zamry mahu Richiamo Coffee tembusi pasaran antarabangsa

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

Interview Datuk Wan Azmir untuk segmen Sukses Majoriti 7. 11 JANUARY 2024 ?CHAN TAK KONG/The Star

Kepakaran Wan Azmir banyak tertumpu kepada litigasi dan timbang tara sivil serta jenayah.

Kepakarannya mengendalikan kes melibatkan individu berkepentingan baik tokoh politik mahupun selebriti membuatkan profilnya begitu dikenali, sekali gus menjadikan Wan Azmir antara pengamal undang-undang tersohor di Malaysia.

Beliau kini berkhidmat dan juga merupakan rakan kongsi pengurusan di firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak sejak 2007.

Berbekalkan 18 tahun pengalaman dalam industri, kepakaran Wan Azmir banyak tertumpu kepada litigasi dan timbang tara sivil serta jenayah.

Pemegang Ijazah Sarjana Undang-Undang (Kepujian) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu mempraktikkan amalan litigasi sivil namun tidak terhad kepada perkara pemulihan hutang, pembinaan, harta pusaka, pertikaian harta dan badan pengurusan bersama serta pertikaian korporat dan kontrak yang lain.

Bagi litigasi jenayah pula, beliau mengendalikan pelbagai perkara termasuklah kes yang berkaitan dengan rasuah, pengedaran dadah, kesalahan imigresen dan penahanan secara salah, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (РОСА).

Anak keempat daripada enam beradik itu juga banyak mengendalikan perkara yang menjadi perbalahan seperti saman fitnah, probet dan surat pentadbiran, perceraian serta pertikaian perkahwinan.

Bak doktor

Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, individu yang memasang impian untuk menjadi peguam perlu memahami bahawa profesion tersebut bukan sekadar karier.

Sebaliknya, ia sudah menjadi satu gaya hidup yang memerlukan anda berada dalam keadaan bersedia dalam tempoh 24 jam.

Malah katanya, tidak berlebihan jika dikatakan pengamal undang-undang dianggap berada dalam satu perkhidmatan sama seperti doktor perubatan.

"Klien mahu kita selesaikan kes secepat mungkin. Pada masa sama, mereka juga mahu mendapatkan perkhidmatan terbaik daripada peguam.

"Oleh itu, kita perlu ada rasa tanggungjawab untuk menjawab panggilan anak guam sepanjang hari tanpa mengira waktu," ujarnya.

Jika sebelum ini wajahnya sering terpampang di kaca televisyen dan dada-dada akhbar bagi mewakili anak quamnya, kini Wan Azmir mula mengorak langkah mendekati generasi muda melalui platform media sosial.

Dengan menyediakan kandungan berkaitan undang-undang yang lebih santai dan mudah difahami, beliau berharap ilmu yang dikongsikannya sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kadar kes jenayah di Malaysia.

Kajian yang dibuatnya sebelum ini menunjukkan kebanyakan masyarakat Malaysia tidak terlalu mengambil berat akan perihal undang-undang.

"Saya musykil melihat kesalahan jenayah yang sama meningkat saban tahun. Saya buat kajian, mengapa ia berlaku.

"Saya cuba beri ilmu tentang undang-undang dan kekalkan topik yang relevan kepada masyarakat," ujarnya yang juga penasihat undang-undang bagi KNKV Group, iaitu sebuah syarikat korporat agensi pengiklanan dan produksi.

Lawyer of Deputy Supt Mohd Nazri Abdul Razak Datuk Wan Azmir Wan Majid walking out of the magistrate court in Ipoh. (7TH FEB 2024)--RONNIE CHIN/The Star

Wajah Wan Azmir sering terpampang di kaca televisyen dan dada-dada akhbar bagi mewakili anak quamnya.

Bungkusan pelik

Ditanya sama ada pernah menerima sebarang ugutan selepas menyelesaikan satu-satu kes, Wan Azmir mengatakan bahawa dirinya tidak pernah berdepan ugutan berbentuk mesej atau panggilan telefon.

Sebaliknya, beliau pernah menerima bungkusan seolah-olah sihir yang mengandungi barangan pelik seperti kaki dan tongkeng ayam, darah, rambut serta paku.

Selain menerima bungkusan tanpa pengirim, beliau pernah menjumpai taburan beras di hadapan pejabat lamanya yang terletak di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur.

"Sebelum ini saya pernah mengendalikan kes saman malu yang terhadap kumpulan agama yang dikatakan sesat.

"Perkara seperti ini banyak berlaku sejurus selepas saya melawan kes berkenaan, namun saya buangnya (bungkusan).

"Saya enggan menuduh mana-mana pihak atas kejadian tersebut, sebaliknya hanya menganggap ini semua hanyalah permainan psikologi dan sebagai salah satu dugaan dalam bidang ini," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram