
KES penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor terus menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila sebanyak 1,441 kes direkodkan pada minggu ke-17 tahun ini.
Berdasarkan kes yang direkodkan sejak 21 hingga 27 April itu telah melepasi paras amaran yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 20.5 peratus berbanding minggu sebelumnya, iaitu sebanyak 1,196 kes.
"Johor Bahru mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 386 kes, diikuti Batu Pahat (254), Kluang (192), Kota Tinggi (140), Tangkak (134), Muar (128), Pontian (94), Segamat (47), Mersing (37) dan Kulai (29)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA LAGI : Sempat larikan diri ke pondok pengawal, remaja hampir diculik ketika berjoging di Shah Alam
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 14 kluster baharu telah dikenal pasti minggu lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kluster HFMD di Johor tahun ini meningkat kepada 74 kluster.
"Kluster-kluster ini melibatkan 24 taska, 19 prasekolah, 17 pusat jagaan kanak-kanak, 12 tadika, satu sekolah rendah dan satu kediaman persendirian," jelasnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon
Menurut Tian Soon, kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah merupakan kumpulan paling terjejas, diikuti oleh mereka yang berumur antara tujuh hingga 12 tahun, serta golongan remaja dan dewasa berumur 13 tahun ke atas.
Sebagai langkah kawalan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah mengeluarkan dua surat amaran kepada semua hospital dan pegawai kesihatan daerah bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan dan tindakan pencegahan di lapangan.
"Semua pengusaha fasiliti penjagaan kanak-kanak disaran supaya meningkatkan amalan kebersihan seperti membersihkan dan menyahkuman mainan serta permukaan yang kerap disentuh secara berkala.
"Pendidik dan penjaga juga perlu memastikan amalan mencuci tangan dilakukan dengan kerap, terutamanya selepas menggunakan tandas dan sebelum atau selepas makan," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom HFMD, seperti demam, luka di dalam mulut serta ruam atau lepuh pada tangan dan kaki.
HFMD merupakan jangkitan virus yang mudah merebak, terutama dalam kalangan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah, namun turut berisiko kepada golongan lebih tua. Ia disebarkan melalui cecair daripada mulut, hidung, najis atau lepuh pesakit yang dijangkiti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram