
DUTA Autoimun Indonesia Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI), Qory Sandioriva berkongsi kisah melawan tiga jenis penyakit autoimun yang dihidapi sejak berusia 16 tahun.
Puteri Indonesia 2009 itu menyatakan dirinya menghidap Lupus SLE, Sindrom Sjögren's dan radang usus dan terus berjuang melawan penyakit tersebut dalam tempoh yang panjang.
"Saya sudah menghidap penyakit ini selama 17 tahun, sejak usia saya 16 tahun hingga kini 33 tahun," ujar Qory dalam program bual sembang Kartini Kini 2025: Dengarkan Tubuhmu baru-baru ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Ada yang anggap sampah, Cikgu Khalid hayati roh lukisan 'anak-anak syurga'
Qory Sandioriva bergelar Puteri Indonesia 2019.
Pada mulanya, gejala yang dialami tidak begitu ketara. Bahkan dia tidak tahu sedang menghidap penyakit berkenaan sehingga menjangkau usia 18 tahun.
"Pada awalnya saya menghidap penyakit autoimun ketika berusia 16 tahun, tetapi saya tidak mengetahuinya. Kemudian semasa saya berumur 18 tahun, saya tiba-tiba pengsan dan koma selama 2 minggu," katanya.
Menurut Qory, gejala yang dialami ketika itu sama seperti penyakit Tifus atau demam denggi berdarah.
Qory bersama anak lelakinya.
"Tubuh terasa lemah dan suhu badan sangat tinggi. Setelah rawatan lanjut baru tahu saya didiagnosis Lupus SLE, yang ketika itu masih kurang dikenali oleh masyarakat.
"Pada mulanya saya didiagnosis menghidap Lupus sahaja, tetapi ketika itu penyakit Lupus masih tidak popular. Hanya sering dikaitkan dengan HIV/AIDS," jelasnya.
Kekurangan penyelidikan dan teknologi serta kemudahan fasiliti ketika itu menyebabkan wanita berusia 33 tahun tersebut terpaksa mendapatkan rawatan di luar negara.
"Saya perlu pergi ke Singapura, Korea, California, Amerika Syarikat dan ke mana sahaja untuk mendapatkan rawatan kerana rawatan autoimun di Indonesia belum sebaik sekarang," tambahnya.
Ibu kepada seorang cahaya mata ini turut mengalami kerosakan pada 13 organ tubuhnya dan tidak pernah putus asa untuk memulihkan diri.
Kini 10 daripadanya telah pulih selepas menjalani rawatan intensif.
Penyakit yang dihidapinya itu bukan sahaja menyebabkan aktiviti fizikalnya terbatas, malah turut memberi kesan kepada kehidupan peribadi.
Ini termasuk kesan psoriasis terhadap kulit hingga membuatkan dirinya hilang keyakinan diri.
"Saya sudah tujuh kali hampir mempunyai anak, tetapi hanya seorang yang berjaya dilahirkan.
"Untuk kulit, penyakit Lupus menyebabkan psoriasis dan membuatkan saya pernah hilang keyakinan diri disebabkan itu," tambahnya.
Walaupun belum ada data perubatan yang menunjukkan bahawa penyakit autoimun boleh disembuhkan sepenuhnya, Qory percaya bahawa perjuangannya dalam mengamalkan gaya hidup sihat mampu berikan kehidupan yang baik.
Qory berharap perkara yang terjadi kepadanya akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang betapa pentingnya pemeriksaan dan rawatan awal bagi penyakit autoimun.
Dia juga menyeru masyarakat untuk memberikan sokongan kepada mereka yang sedang berjuang melawan penyakit yang sama. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram