Gerai masakan Pantai Timur 'bungkus', wanita asal Kota Bahru buka agensi pelancongan teroka destinasi unik Eropah antaranya buru cahaya aurora


  • Bizz
  • Isnin, 17 Mac 2025

Dhiya (gambar kiri) memberikan tumpuan terhadap destinasi unik yang terdapat di Eropah. —Dhiya Milito

SELEPAS berhenti kerja sebagai juruukur bahan pada 2014, Dhiya Syamimi Ahmad Dzafari mengambil keputusan memulakan perniagaan jualan makanan secara kecil-kecilan di sekitar Lembah Klang.

Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, dunia perusahaan terutamanya makanan bukan asing bagi beliau.

Ketika itu, selain membuka gerai kecil, beliau yang sudah berumah tangga turut menyertai pelbagai acara dengan menjual aneka hidangan dari Pantai Timur.

BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah

BACA LAGI: Status agama dipersoal lepas peluk Islam, ketekalan Mohd. Chan terbalas perniagaan rangkaian restoran terus berkembang cecah 2 dekad

Selepas tiga tahun, perusahaannya itu berkembang sehingga membolehkannya memiliki kira-kira lapan buah gerai beroperasi sekitar Bangi, Selangor.

Ketika mengendalikan perniagaan tersebut, Dhiya pada masa sama turut mengejar minat dalam dunia pelancongan dengan menjadi ketua pelancong atau tour leader khususnya di Eropah dan negara Scandinavia.

Minat terhadap pelancongan itu tumbuh sejak beliau masih bertugas sebagai juruukur bahan selama kira-kira lapan tahun.

Bagaimanapun, tanpa disangka-sangka, pekerjaan yang pada awalnya dilakukan secara sambilan bertukar menjadi perniagaan utama.

Dhiya (dua dari kiri) bersama peserta rombongan pelancong yang dibawa oleh Traavella. — Dhiya Milito

Segala-galanya bermula selepas perusahaan makanannya berdepan kemerosotan akibat pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan beliau terpaksa menutup kesemua operasi gerai.

Bertitik tolak daripada itu, Dhiya yang kini berusia 37 tahun kemudiannya mengasaskan syarikat agensi pelancongan dinamakan Traavella Tours (Traavella) pada 2024, menumpukan trip pelancongan peribadi dan boleh diubah suai mengikut keperluan rombongan dari Malaysia.

Sehingga kini, Traavella menyediakan lebih 13 destinasi pelancongan di seluruh dunia dengan antara perkhidmatan utama bagi menyediakan perjalanan memburu fenomena cahaya aurora dan 'The Midnight Sun'.

Sebelum mengasaskan Traavella, Dhiya terlebih dahulu sudah mengetuai lebih 100 trip pelancongan melibatkan kira-kira 2,000 peserta.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perniagaan pelancongan dijalankan, Majoriti menemu bual Dhiya.

1. Daripada juruukur, kemudian bisnes makanan dan kini agensi pelancongan. Mengapa perusahaan dalam industri pelancongan menjadi pilihan?

Pada 2018, saya ternampak satu iklan kursus tour leader daripada sebuah syarikat milik rakyat Malaysia berpusat di Scotland dikenali sebagai Scotland Muslim Travel.

Lalu saya menghadiri kursus di sana selama tiga bulan dan kami diajar bagaimana untuk menjadi tour leader.

Aktiviti memburu cahaya aurora merupakan antara kegiatan tumpuan di bawah pakej pelancongan Traavella. — Traavella

Destinasi pertama saya sebagai tour leader ialah London, United Kingdom (UK) dan Scotland. Selepas itu, saya dihantar ke Iceland, yang merupakan pengalaman membuka jalan memenuhi salah satu impian sebagai pelancong.

Dalam dunia pelancongan, Iceland adalah destinasi unik dan sentiasa menjadi tempat terakhir atau pelengkap buat mereka yang sudah menjelajah serata dunia.

Kerja sebagai tour leader ini berdasarkan permintaan. Kadang-kadang saya juga membawa kumpulan kecil seperti keluarga atau rakan-rakan untuk trip santai ke London atau Scotland.

Kos utama perlu ditanggung termasuk tiket penerbangan, penginapan, dan makanan. Bayaran diterima pada masa itu sangat rendah, sekitar RM15 hingga RM20 sehari, dan untuk destinasi seperti Korea atau Jepun, mungkin sekitar RM60 sehari.

Jika satu trip mengambil masa lima hari, pendapatan hanya sekitar RM300. Pendapatan sebegini sukar untuk menampung komitmen bulanan.

Sejak itu, saya memasang impian menjadikan pekerjaan tour leader lebih profesional dan stabil dari segi pendapatan.

2. Bagaimana Traavella bermula?

Sebelum menubuhkan syarikat ini, saya sering terlibat dengan beberapa syarikat pelancongan besar. Saya berperanan sebagai tour leader yang membawa kumpulan pelancong untuk syarikat tersebut.

Syarikat ini biasanya menganjurkan trip bersama melibatkan 30 hingga 40 orang peserta.

Antara destinasi menarik dikunjungi peserta di Iceland. — Traavella

Namun, dalam kumpulan yang besar seperti ini, sukar untuk memenuhi semua keperluan peserta.

Contohnya, jika pergi ke satu destinasi, dalam trip berskala kecil (contohnya bawah 10 orang), kita boleh meluangkan masa hingga 2 jam di satu tempat.

Namun, dalam kumpulan besar, masa itu mungkin terhad hanya 30 minit kerana perlu menunggu dan menguruskan semua peserta.

Akibatnya, pengalaman perjalanan menjadi kurang memuaskan – tidak cukup masa untuk bersiar-siar atau membeli-belah.

Melihat kepada cabaran tersebut, saya memutuskan untuk menubuhkan Traavella, memfokuskan kepada trip peribadi untuk keluarga atau kumpulan kecil.

Kedua, menyediakan trip boleh diubah suai yang dirancang khusus berdasarkan keperluan dan kehendak pelanggan.

Ketiga, menjalankan perjalanan dengan kumpulan kecil bagi memastikan pengalaman lebih intim dan fleksibel.

3. Lazimnya, berapakah modal diperlukan untuk membuka agensi pelancongan?

Salah satu syarat ditetapkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk pendaftaran sesebuah syarikat itu perlu memiliki modal minimum berbayar sebanyak RM200,000.

Jadi untuk permulaan, Traavella mengeluarkan modal awal keseluruhan sekitar RM260,000 , semuanya wang simpanan peribadi.

Dhiya mula berjinak-jinak sebagai tour leader sejak 2018. — Dhiya Milito

Selain untuk memenuhi syarat modal minimum MOTAC, selebihnya digunakan untuk menampung kos seperti penyewaan dan kelengkapan pejabat, pembayaran pendaftaran dan perlesenan, serta peralatan dan kemudahan lain. Ini adalah untuk memastikan operasi syarikat berjalan lancar dan memenuhi semua syarat ditetapkan.

Pelaburan ini penting untuk memastikan Traavella beroperasi dengan profesional dan berdaya saing dalam industri pelancongan.

4. Bagaimana Traavella mengenal pasti tempat ideal untuk kunjungan pelancong?

Proses penyediaan pakej pelancongan di Traavella bukanlah dilakukan secara sambil lewa. Di Traavella saya berusaha menawarkan pengalaman lebih mendalam dan eksklusif.

Setiap destinasi disediakan dalam pakej, saya sendiri akan turun padang untuk melakukan kajian terlebih dahulu. Saya akan berjumpa dengan penduduk tempatan, pekerja di kawasan tersebut, dan meneliti keadaan serta kemudahan di lokasi.

Proses ini penting bagi memastikan segala aspek perjalanan memenuhi standard saya inginkan.

Untuk destinasi yang ada halangan bahasa seperti di Jepun, Korea, dan Asia Tengah, saya menggunakan perkhidmatan ground handler tempatan.

Proses penyediaan satu-satu pakej mengambil masa sekitar enam bulan. Ini termasuk masa untuk penilaian, pemilihan penyedia perkhidmatan, dan membuat penyesuaian jika terdapat keperluan.

5. Apakah cabaran utama dalam mengendalikan agensi pelancongan?

Cabaran utama dalam industri pelancongan hari ini adalah perubahan sikap dan keperluan pelanggan. Dengan kemajuan teknologi, ramai lebih cenderung untuk melakukan perjalanan secara DIY (Do It Yourself).

Maklumat tentang destinasi, pengangkutan, dan penginapan kini boleh diakses dengan mudah di hujung jari. Mereka boleh merancang perjalanan sendiri, membuat tempahan dan mendapatkan maklumat lengkap secara dalam talian.

Selain perubahan trend pelanggan, cabaran lain yang besar adalah kenaikan kos perkhidmatan dan logistik selepas pandemik. Harga dahulunya berpatutan kini meningkat dengan ketara.

Pemandangan di Pulau Lofoten yang berada di Utara Norway. — Dhiya Milito

Contohnya, sebelum pandemik, sewa kereta di Norway untuk kenderaan sembilan tempat duduk sekitar RM600 hingga RM900 sehari.

Kos penginapan seperti di Lofoten Island sekitar RM560 semalam.

Namun, selepas pandemik, sewa kereta yang sama kini mencecah RM2,200 sehari.

Penginapan di lokasi sama pula melonjak hingga RM1,900 semalam, walaupun hanya sebuah apartment biasa di kawasan pusat bandar.

Perubahan kos ini turut menjejaskan harga pakej. Sebelum ini, pakej ke Iceland boleh dijual sekitar RM6,000 hingga RM7,000.

Kini, untuk menampung kos yang meningkat, harga pakej tidak boleh dijual kurang daripada RM10,000.

Dalam situasi sebegini, saya berusaha untuk memastikan Traavella kekal relevan dalam industri. Walaupun harga mungkin lebih tinggi berbanding dahulu, saya tetap komited memberikan perkhidmatan terbaik sepadan dengan nilai ditawarkan.

6. Adakah perniagaan agensi pelancongan bisnes yang menguntungkan?

Walaupun industri pelancongan berdepan pelbagai cabaran, ia tetap berpotensi memberikan pulangan yang menguntungkan jika diuruskan dengan baik.

Contohnya, dalam satu trip ke Norway, keuntungan diperoleh boleh mencecah antara RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap peserta.

Dengan saiz kumpulan sekitar 15 orang, jumlah keuntungan kasar bagi satu trip boleh mencapai sekitar RM15,000.

Jika trip dilakukan secara back-to-back, iaitu dengan mengadakan beberapa trip berturut-turut, keuntungan boleh berganda hingga mencecah sekitar RM30,000 hingga RM40,000 bagi setiap pusingan trip.

Walaupun margin keuntungan ini kelihatan menarik, ia tetap memerlukan perancangan yang teliti dan pengurusan kos yang bijak.

Ini termasuk memastikan semua aspek perjalanan, daripada penginapan, pengangkutan, sehinggalah kepada pengalaman pelanggan, benar-benar memenuhi jangkaan dan standard yang ditetapkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram