
GENIUS Aulad merupakan sebuah institusi pendidikan awal kanak-kanak ditubuhkan pada 2000 yang merintis kepada matlamat menyediakan pendidikan prasekolah menggabungkan nilai Islam dan penguasaan Bahasa Inggeris.
Bermula dengan hanya mempunyai 20 orang murid di sebuah lot kedai di Subang Jaya, Selangor, ia terus berkembang pesat dengan mempunyai lebih 90 cawangan pada hari ini.
Tidak cukup sekadar itu, ia juga mula mengembangkan sayapnya dengan meluaskan operasinya di negara jiran iaitu Indonesia.
Individu yang menjadi tulang belakang kepada syarikat tersebut ialah Zaliza Alias yang merupakan pengasas kepada Genius Aulad International Sdn Bhd (Genius Aulad).
Graduan dalam bidang pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zaliza terlebih dahulu memulakan perjalanan sebagai pensyarah di beberapa institusi pendidikan di dalam negara.
Bagaimanapun, ketika baru mencapai usia 27 tahun, wanita kelahiran Selangor ini mengambil keputusan berani untuk memulakan Geniuas Aulad selepas melihat peluang yang wujud dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Zaliza mempunyai kecintaan yang mendalam terhadap dunia pendidikan.
"Sejak awal, saya sudah melihat minat saya dalam pendidikan awal kanak-kanak, tetapi ketika itu bidang ini masih agak baru di Malaysia, terutama dalam pendidikan awal berasaskan Islam yang menggunakan bahasa Inggeris.
"Saya juga lihat ketika itu tidak banyak bahan latihan, pembelajaran, atau sistem yang lengkap seperti SOP dan struktur kurikulum yang tersusun. Oleh itu, saya memulakan usaha ini secara kecil-kecilan dengan apa yang ada.
"Saya percaya pendidikan mesti berasaskan misi, bukan sekadar perniagaan dan keuntungan semata-mata," kongsinya yang juga pemegang ijazah sarjana pendidikan khas daripada Nottingham University, United Kingdom (UK).
Majoriti menemu bual Zaliza, 53, untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perjalanan perniagaan Genius Aulad.
1. Boleh anda kongsikan mengenai perkembangan terbaharu operasi Genius Aulad?
Ketika ini, Genius Aulad mempunyai sekitar 90 cawangan. Salah satu perkembangan terbaharu adalah sejak 2023, kami sudah memulakan usaha pendigitalan pendidikan. Kami telah membangunkan sebuah platform khas membolehkan semua guru mengakses kandungan yang sama.
Dari segi kreativiti, guru masih mempunyai kebebasan untuk mengajar mengikut gaya mereka, tetapi dengan adanya penyeragaman ini, kami dapat memastikan kawalan kualiti yang lebih baik.
Ini merangkumi aspek seperti penggunaan animasi, lagu, dan kaedah pengajaran.
Dengan pendekatan ini, pelajar tidak akan ketinggalan, dan tiada isu ketidakseimbangan dalam kualiti pengajaran antara guru yang berbeza.
Walaupun terdapat variasi dalam kreativiti pengajaran, sistem ini memastikan tahap kualiti yang standard dan lebih tinggi.
Sejak tahun pertama pelaksanaannya, kami telah menjalankan ujian percubaan sebelum memperkenalkan sistem ini secara menyeluruh kepada semua francais.
Hasilnya sangat positif, dan kami melihat keberkesanan sistem ini dalam meningkatkan kualiti pembelajaran di Genius Aulad.
Selain memperkukuh kedudukan di Malaysia, Genius Aulad juga berhasrat untuk berkembang ke peringkat antarabangsa. Kami merancang untuk menyesuaikan kandungan pendidikan kami agar lebih umum dan sesuai dengan keperluan negara tertentu.
Pada masa ini, kami telah membuka satu cawangan di Indonesia. Selain itu, kami juga merancang untuk menembusi pasaran di Timur Tengah, khususnya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) seperti Dubai.
Berdasarkan kajian kami, kawasan ini mempunyai demografi sasaran yang sesuai untuk pendekatan pendidikan Genius Aulad iaitu berpendapatan kumpulan menengah atas.
2. Sewaktu memulakan Genius Aulad pada 2000, apakah anda menjangka ia akan berkembang seperti yang dicapai pada hari ini?
Saya melihat diri saya sebagai seorang pendidik, dan sehingga kini, saya masih menganggap diri saya dalam peranan tersebut. Saya tidak melihat diri saya sebagai seorang ahli perniagaan.
Apabila saya bercakap mengenai pemasaran sekalipun, pemikiran saya tetap berpusat pada pendidikan—apa yang baik untuk pendidikan, apa yang perlu ibu bapa tahu dan fahami.
Jadi, saya tidak pernah menjangkakan untuk membawa jenama ini ke peringkat yang lebih besar dari sudut perniagaan.
Tetapi bagi saya, jika kita kekal konsisten dalam menjaga kualiti, perkembangan akan berlaku dengan sendirinya.
Guru merupakan tulang belakang kepada kecemerlangan pengembangan Genius Aulad. — Genius Aulad
3. Apakah yang memberikan keyakinan kepada Puan untuk mengembangkan Genius Aulad?
Seperti yang saya katakan, saya percaya bahawa pendidikan ini mempunyai keperluan tersendiri.
Saya melihat kepentingan menyediakan pendidikan Islam dalam medium lebih luas, termasuk dalam bahasa Inggeris.
Islam adalah agama yang universal, untuk semua bangsa dan kaum. Jadi, mengapa tidak boleh kita sediakan pendidikan ini dalam bahasa yang lebih mudah diakses oleh semua, di samping bahasa Melayu.
Itulah yang saya lihat sebagai keunikan dan kelebihan dalam pendekatan kami.
Kemudian kekuatan utama saya adalah hubungan dengan ibu bapa dan perkembangan kanak-kanak. Saya melihat bagaimana perkembangan kanak-kanak kekal konsisten sejak awal hingga kini.
Setiap tahun, kami menjalankan tinjauan dalam kalangan ibu bapa dan menilai pencapaian literasi pelajar. Bahkan ketika pandemik Covid-19, kami mendapati pencapaian mereka tetap stabil.
Namun, apabila saya bercakap tentang pencapaian, saya tidak hanya merujuk kepada kebolehan membaca, menulis, atau mengaji.
Bagi saya, penanda aras utama adalah kebahagiaan kanak-kanak. Mereka perlu merasakan bahawa pendidikan itu menyeronokkan dan bahawa belajar adalah satu pengalaman yang menggembirakan.
Itulah sebabnya dalam pendidikan di Genius Aulad, hanya 20 peratus daripada sesi pembelajaran menggunakan buku.
Kami mempunyai banyak bahan bacaan, tetapi hanya 20 peratus digunakan dalam kelas kerana kanak-kanak juga boleh belajar secara teori di rumah.
Selebihnya, 80 peratus pembelajaran adalah berbentuk bermain sambil belajar.
Kami memastikan keseimbangan dalam kaedah ini, termasuk dalam aspek ibadah seperti solat. Kanak-kanak diajar untuk merasakan keseronokan dalam beribadah — bukan sekadar bermain, tetapi memahami kepentingan solat dengan cara yang positif dan menggalakkan.
Setakat ini, jumlah murid yang menamatkan pendidikan di Genius Aulad dianggarkan sekitar 3,000 orang setiap tahun. Sejak awal penubuhan hingga kini, kami telah mendidik lebih daripada 100,000 kanak-kanak.
4. Bertahan untuk tempoh selama lebih dua dekad bukan sesuatu yang mudah. Apakah rahsia yang membolehkan Genius Aulad bukan sahaja kekal mapan daripada segi operasi, malah juga berkembang sehingga hari ini?
Saya masih berpegang kepada pandangan yang sama bahawa kunci untuk kekal mapan adalah melalui kualiti guru.
Dalam Genius Aulad, kami memberi penekanan terhadap kualiti tenaga pengajar melalui pelbagai pendekatan.
Setiap bulan, guru menerima bimbingan dalam sesi coaching bagi meningkatkan kaedah pengajaran mereka. Selain itu, kami juga menjalankan Education Quality Check (EQC) secara berkala untuk memastikan standard pengajaran dipatuhi.
Setiap cawangan turut menghantar laporan prestasi mereka bagi menilai perkembangan pusat masing-masing.
Kami juga mempunyai modul latihan khas yang telah dibangunkan dan diuji selama lebih 25 tahun bagi memastikan sistem latihan yang berstruktur dan berkesan untuk guru kami.
Pada masa ini, Genius Aulad mempunyai sekurang-kurangnya 450 orang guru.
Ketika ini, Genius Aulad mempunyai sekitar 90 cawangan. — Genius Aulad
5. Adakah Genius Aulad menetapkan sebarang syarat minimum untuk pengambilan guru?
Minimum kelayakan untuk menjadi guru di Genius Aulad sekurang-kurangnya diploma, tetapi saya tidak menafikan bahawa dalam pendidikan awal kanak-kanak, aspek ini sangat subjektif.
Ada individu yang hanya memiliki SPM, tetapi mereka memulakan kerjaya dari bawah, seperti menjadi pembantu guru terlebih dahulu. Dengan latihan yang kami sediakan, mereka berpeluang untuk berkembang dan meningkatkan kemahiran mereka.
Kami juga menghantar guru ini ke pelbagai sesi latihan bagi menilai kebolehan mereka. Jika seseorang itu menunjukkan prestasi yang cemerlang, mereka boleh dinaik taraf menjadi guru sepenuhnya.
Dalam sistem kami, tidak semestinya kelayakan di atas kertas sahaja yang menentukan keupayaan seseorang. Apa yang lebih penting adalah kesungguhan, komitmen, serta kebolehan mereka dalam mendidik dan membimbing kanak-kanak.
Kami mempunyai ramai guru yang bermula dari bawah dan kini telah lama berkhidmat bersama kami.
6. Nasihat Puan mungkin kepada usahawan yang ingin menceburi perniagaan dalam bidang pendidikan?
Nasihat saya adalah jangan melihat pendidikan sebagai perniagaan semata-mata. Yang paling penting, pendidikan adalah tentang mendidik.
Seseorang itu perlu menjadi pendidik terlebih dahulu, barulah aspek perniagaan akan datang dengan sendirinya.
Namun, dalam masa yang sama, ilmu perniagaan tetap penting untuk dipelajari. Kita perlu memahami aspek perniagaan kerana ia membantu kita bertahan dan berkembang, sekaligus membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai kanak-kanak untuk menerima pendidikan yang berkualiti.
Pada awalnya, saya sendiri tidak begitu memahami kepentingan perkara seperti pengurusan akaun, audit, dan hal-hal berkaitan kewangan.
Namun, dalam tempoh satu hingga dua tahun pertama, saya mula menyedari bahawa keseimbangan antara pendidikan dan perniagaan itu penting.
Oleh itu, saya terus belajar, kerana sebagai pendidik, kita perlu sentiasa menimba ilmu, bukan hanya dalam bidang pendidikan, tetapi juga dalam perkembangan semasa seperti teknologi dan media sosial.
Dengan pemahaman yang lebih luas, kita dapat memastikan pendidikan yang kita bawa terus relevan dan berkesan dalam dunia yang semakin berubah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram