Lebih 1,000 lelaki mengadu kena gangguan seksual


  • Primer
  • Khamis, 18 Apr 2024

Nancy (tengah) bercakap pada Seminar Kasih Semurni Usaha KPWKM @Antigangguan Seksual di UIAM pada Khamis.

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima lebih 1,000 aduan gangguan seksual melibatkan golongan lelaki setakat ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, aduan itu dibuat sepanjang tempoh Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual diadakan.

"Setiap hari (kementerian) terima laporan kes gangguan seksual, bukan hanya kanak-kanak, tapi orang lelaki dewasa yang menghadapinya.

"Pada awal kita mula program, hanya berbelas (aduan diterima), mungkin kerana mereka tidak mahu melaporkannya kepada polis.

"Selepas itu kita sediakan perkhidmatan kaunselor bersama (dengan) kita, jadi mereka berani membuka cerita dan meminta nasihat kepada kaunselor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas berucap pada Pelancaran Seminar KASIH Semurni Usaha KPWKM @Antigangguan Seksual dan Pelancaran Kempen Zero Sexual Harassment on Campus di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor pada Khamis.

BACA LAGI: Langkah potong subsidi bahan api kekal dilaksana tahun ini — Rafizi

WhatsApp Image 2024-04-18 at 18.53.39 (1)

Nancy ketika ditemui pemberita di UIAM, Gombak, Selangor.

BACA LAGI: Akaun 3 KWSP tambah alternatif simpanan pencarum, sedia dana kecemasan ketika terdesak

Mengulas lanjut mengenai Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS), Nancy berkata, ia mula beroperasi untuk menerima aduan bagi perbuatan gangguan seksual yang berlaku pada atau selepas 8 Mac tahun ini.

Jelasnya, TAGS menyediakan satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum bagi mangsa mengambil tindakan terhadap pelaku untuk mendapatkan hak tebus rugi akibat daripada gangguan yang dialami.

"Penubuhan TAGS bukan bertujuan mengambil alih fungsi mahkamah, sebaliknya memberikan pilihan kepada mangsa sama ada membuat aduan di TAGS atau mengambil tindakan sivil di mahkamah.

"Perlindungan mangsa sekiranya mengalami penganiayaan adalah di luar bidang kuasa TAGS.

"Sekiranya elemen penganiayaan berlaku, ia boleh ditangani menerusi perundangan sedia ada, contohnya dalam konteks pekerjaan, ia boleh ditangani di bawah Mahkamah Perusahaan atau sekiranya melibatkan ancaman atau ugutan yang bersifat jenayah, ia boleh dirujuk kepada pihak polis," ujar beliau.

Tambahnya lagi, antara kelebihan TAGS termasuk kos yang ditanggung adalah minimum kerana hanya melibatkan yuran memfailkan borang aduan sebanyak RM30 dan sekiranya pernyataan pembelaan difailkan, ia hanya berjumlah RM10.

"Pembuktian aduan gangguan seksual pula adalah secara imbangan kebarangkalian dan tiada keperluan untuk melantik peguam bela atau peguam cara.

"Pendengaran juga dijalankan secara tertutup di hadapan tiga anggota panel Tribunal yang berwibawa," kata Nancy. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram