
KES jenayah melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak perempuan semakin membimbangkan di Malaysia. Statistik menunjukkan peningkatan dalam kes gangguan seksual, penculikan dan serangan fizikal yang menjadikan golongan itu sebagai sasaran utama.
Situasi tersebut menimbulkan persoalan tentang kepentingan ilmu pertahanan diri sebagai satu keperluan bagi melindungi diri daripada ancaman jenayah.
Bagi bekas atlet karate negara, Shree Sharmini Segaran, wanita perlu memiliki kemahiran mempertahankan diri bagi meningkatkan keselamatan dan membina keyakinan.
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan sekadar minuman berkarbonat tepi sawah, bunga jadi identiti gadis di sebalik Sechenta
"Wanita sering menjadi sasaran kerana dianggap lemah. Dengan latihan yang betul, mereka bukan sahaja mampu mempertahankan diri tetapi juga dapat mengelakkan situasi berbahaya," katanya kepada Majoriti.
Shree Sharmini Segaran
Bukan pilihan, satu keperluan
Berkhidmat sebagai anggota polis, Shree Sharmini tidak menafikan selain aspek fizikal, ilmu pertahanan diri turut membentuk disiplin, kawalan emosi dan kesedaran terhadap persekitaran.
"Ia membantu wanita dan kanak-kanak mengenal pasti bahaya serta bertindak balas dengan pantas dalam keadaan kecemasan.
"Bagi kanak-kanak perempuan, pembelajaran pertahanan diri boleh dimulakan seawal usia lima tahun dalam bentuk latihan asas seperti fleksibiliti dan ketangkasan.
"Namun bagi pemahaman yang lebih serius, peringkat sekolah rendah adalah masa sesuai untuk mereka mempelajari teknik pertahanan diri yang lebih berkesan.
"Oleh itu, pemilihan jurulatih berkelayakan amat penting bagi memastikan teknik yang diajar adalah selamat dan berkesan," tegasnya.
Sebagai langkah proaktif, Shree Sharmini turut menyarankan agar pertahanan diri dijadikan sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah.
"Dengan meningkatnya kes jenayah terhadap wanita, ilmu pertahanan diri bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan bagi memastikan keselamatan mereka dalam dunia yang semakin mencabar," ujarnya.
Shree Sharmini (kiri) tidak menafikan selain aspek fizikal, ilmu pertahanan diri turut membentuk disiplin, kawalan emosi dan kesedaran terhadap persekitaran.
Untuk rekod, Shree Sharmini pernah merangkul dua pingat emas pada Sukan SEA KL 2017 melayakkan dirinya menerima penghargaan 'Ikon PDRM' sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024.
Penghargaan yang diberikan kepadanya adalah atas pencapaian, kemahiran, kepakaran dan kejayaannya dalam melaksanakan tugas sebagai anggota polis dalam pada masa sama bergelar atlet negara.
"Sebelum ini saya pernah dianugerahkan Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (ASK) daripada Sultan Kedah pada Jun lalu.
"Itu pun salah satu kejayaan peribadi yang saya cukup bangga dan semangat untuk terus berkhidmat," katanya.
Selain meraih pingat emas di Sukan SEA, Shree Sharmini sebelum ini turut menyumbang pingat gangsa bagi acara kumite wanita bawah 68 kilogram di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan pada 2014.
Perjalanan karier
Shree Sharmini ketika bertugas Unit Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya, Selangor.
Shree Sharmini turut memaklumkan beliau kini sedang menjalani latihan kenaikan pangkat sebagai Inspektor.
Sebelum ini beliau bertugas sebagai Lans Koperal di Unit Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya, Selangor.
Kongsinya, latihan Inspektor yang bermula pada 12 Januari tahun lalu dijadualkan berakhir pada 12 Oktober tahun ini.
Latihan kali ini jauh lebih mencabar berbanding latihan polis sebelum ini.
"Latihan polis yang saya lalui sebelum ini hanya berlangsung selama enam bulan, manakala latihan inspektor mengambil masa hampir 18 bulan," katanya.
Antara cabaran utama yang dihadapi adalah latihan kawad dan ketahanan fizikal yang lebih intensif.
"Dalam latihan ini, tiga bulan pertama lebih tertumpu kepada fizikal. Kami perlu melakukan kawad dan berlari setiap hari, selain berlatih untuk menghadapi ujian ketahanan," tambahnya.
Shree Sharmini (kanan) pernah merangkul dua pingat emas pada Sukan SEA KL 2017 melayakkan dirinya menerima penghargaan 'Ikon PDRM' sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024.
Dari segi persaingan, beliau mengakui perlu bersaing dengan peserta yang lebih muda.
"Saya kini berusia 32 tahun dan perlu bersaing dengan peserta yang berumur sekitar 25 tahun. Ini memberi cabaran tersendiri dari segi daya tahan fizikal," katanya sambil ketawa kecil.
Dalam perbandingan antara lelaki dan wanita, beliau menegaskan bahawa latihan yang dijalani adalah sama untuk semua.
"Tiada perbezaan ketara. Walaupun lelaki mungkin mempunyai kelebihan dari segi kekuatan fizikal, kami tetap menjalani latihan yang sama," ujarnya menutup bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram