
PEMERGIAN bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah merupakan kehilangan besar kepada negara khususnya buat rakyat di negara ini.
Sebagai negarawan sejati, Allahyarham antara lain dikenang kerana mengangkat martabat wanita dalam kepimpinan, malah sikap diplomatik dan sederhananya menjadikan beliau mudah didekati masyarakat.
Pemergian Allahyarham pada pukul 7.10 malam di Institut Jantung Negara pada Isnin amat dirasai pengunjung yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir di Masjid Negara Kuala Lumpur.
BACA LAGI: Jenazah Tun Abdullah selamat dikebumikan, pemimpin ke-5 bersemadi di Makam Pahlawan
BACA LAGI: [VIDEO] Titisan air paip tak ditutup ketat beri impak pembaziran tanpa sedar
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah.
Seorang pengunjung, Aishah Abdullah, 40, berkata, jasa Allahyarham dalam pembangunan pendidikan negara amat terkesan di hatinya.
"Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat negara terutama dalam pendidikan Islam. Beliau menggalakkan sistem pembelajaran Program j-QAF iaitu penekanan kepada Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain,” katanya.
Aishah Abdullah.
Idea pelaksanaan tersebut dilontarkan oleh Pak Lah pada 2004 dengan tujuan memperkasakan sistem pengajaran Pendidikan Islam di sekolah.
Sementara itu, seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Nurul Aini, 35, berkata, pentadbiran Allahyarham semasa menyandang jawatan Perdana Menteri berdasarkan prinsip Islam Hadhari atau kesederhanaan membuatkan negara ini dipandang tinggi di persada dunia.
Anggota RELA yang bertugas di Masjid Negara, Nurul Aini.
“Kita kehilangan tokoh negara dengan hala tuju negara yang jelas, penuh beretika dan sederhana selaras dengan pendekatan Islam Hadhari. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” ujarnya.
Tangkap layar Khairy Jamaluddin ketika memaklumkan berita pemergian bapa mentuanya itu.
Terdahulu, Tun Abdullah atau lebih mesra disapa Pak Lah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN).
Berita pemergian Allahyarham disahkan ahli politik dan bekas Menteri Kesihatan yang juga menantu arwah, Khairy Jamaluddin menerusi laman Instagram.
Tun Abdullah merupakan Perdana Menteri Kelima dilantik pada 31 Oktober 2003 bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menamatkan tempoh perkhidmatannya selama 22 tahun.
Tun Abdullah memimpin negara selama enam tahun sebelum beliau sendiri meletakkan jawatan dan digantikan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak pada 2 April 2009.
Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara selepas solat jenazah sejurus selepas solat Zuhur.
Tun Abdullah meninggalkan seorang balu, Tun Jeanne Abdullah dan empat orang anak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram