[VIDEO] Kenakalan baling buah bacang dorong Norsham ceburi rejam lembing, tempa nama sebagai jaguh negara


  • Podium
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Ikuti perkongsian lanjut pemegang pingat emas sukan rejam lembing dalam segmen Duduk Sembang di Majoriti.

PERNAH dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan di majlis Anugerah Sukan Negara 1983 atas kecemerlangan yang diraih dalam industri sukan, Norsham Yoon, 68, berada dalam kelasnya tersendiri.

Bekas Atlet Olahraga Rejam Lembing itu merupakan satu-satunya atlet wanita yang mewakili Malaysia dalam edisi sulung Kejohanan Dunia Olahraga dan sukan SEA 1983.

Siapa sangka di sebalik kejayaan yang dikecapi, ada cerita menarik yang dikongsikan beliau mengenai detik pertama kali dirinya berkecimpung dalam sukan olahraga tersebut.

BACA LAGI: Elak warga emas terjerat jenayah siber, Dr. Yun Yi sediakan modul pembelajaran teknologi

BACA LAGI: Enggan berendam air mata, ibu tunggal dua anak bangkit bina Suri, platform jana pendapatan untuk wanita senasib

Kenakalan zaman kanak-kanak seperti budak-budak lain, apatah lagi membesar di kawasan kampung menjadi titik mula Norsham aktif dalam sukan rejam lembing.

"Ayah saya dahulu bekerja sebagai atendan hospitan dan kawasan laluan ke situ ada pokok-pokok buah seperti pokok bacang, pokok rambutan dan sebagainya.

"Jadi saya suka main baling buah bacang menggunakan kayu ketika pulang dari sekolah.

"Baling buah itulah yang menguatkan otot saya dengan teknik-tenik sehingga membawa saya kepada sebuah sukan yang saya ceburi,” katanya yang ketika itu menetap di Banting, Selangor.

Kini selepas 40 tahun, Norsham yang mesra disapa Kak Sham tetap merindui sukan rejam lembing.

“Rindu! Kata orang kalau dipusingkan semula jam itu alangkah bahagianya hidup. Saya kalau melihat saya atlet-atlet turun ke padang, hati itu berdebar juga macam atlet berkenaan,” ujarnya yang kini merupakan Jurulatih Olahraga Paralimpik.

Ikuti perkongsian lanjut video temu bual bersama Norsham, tentang dunia rejam lembing termasuk pandangan beliau terhadap atlet dan pelapis muda kini dalam industri sukan negara dalam segmen Duduk Sembang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram