‘Tolong! Rumah kami runtuh’, penduduk cerita detik cemas 6 sekeluarga di Lawas nyaris maut ketika tidur


  • Massa
  • Ahad, 13 Apr 2025

Keadaan rumah enam sekeluarga yang runtuh secara tiba-tiba di Lawas, Sarawak pada Ahad.

ENAM sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumahnya di Kampung Banting, Lawas, Kuching, Sarawak runtuh secara tiba-tiba pada pukul 3 pagi Ahad.

Menurut penduduk dengan akaun Facebook Zahid Matserudin, kejadian itu dimaklumkan oleh seorang pekerja bapanya yang berada di lokasi berkenaan.

Katanya, pekerja tersebut memberitahu, terdapat sebuah rumah yang sudah roboh dan beberapa mangsa terperangkap di dalamnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Zaman 'shuffle' dah berlalu, tarian 'raver' di universiti bukan lagi kejutan budaya

BACA LAGI: Pernah turun misi bantuan tsunami pertama Aceh, sukarelawan wanita MyCARE anggap Syawal perkongsian raya dengan individu memerlukan

Struktur rumah yang menghempap enam sekeluarga dalam kejadian itu.

"Tolong Zahid! Rumah kami runtuh. Itulah suara yang mengejutkan saya pukul 2.56 pagi.

"Dalam panik, saya bergegas ke tempat kejadian dan cuba hubungi sepupu yang kebetulan adalah anggota bomba.

"Sementara menunggu bantuan tiba, saya cuba sedaya upaya membantu mereka yang tersepit, dalam gelap malam dengan hanya menggunakan sumber cahaya lampu dari telefon.

"Alhamdullilah dua orang berjaya saya keluarkan dari bawah runtuhan dengan bantuan penduduk lain," ceritanya. 

Kongsinya, kesemua mangsa berjaya diselamatkan pasukan bomba dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. 

Zahid pada masa sama memaklumkan bahawa mangsa sudah menerima sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Skim Perumahan Banting Fasa 4, Lawas. 

"Saya merayu kepada pihak berwajib, tolonglah segerakan penyambungan air dan elektrik di Skim Perumahan Banting Fasa 4.

"Mereka hilang tempat tinggal, bantulah mereka jangan biarkan mereka hidup dalam gelap dan tanpa air bersih," gesanya. 

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dilaporkan berkata, hanya seorang mangsa iaitu wanita warga emas cedera selepas kakinya dihempap almari dalam kejadian itu.

Menurutnya, lima lagi ahli keluarga iaitu seorang lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki hanya mengalami kecederaan ringan.

Kejadian juga berlaku ketika kesemua mangsa sedang nyenyak tidur. 

Bomba  kini memantau keadaan di rumah terbabit dan mengenal pasti punca kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram