Sumandak Sabah wirawati solo bantu misi menyelamat di Myanmar


  • Relaks
  • Selasa, 08 Apr 2025

Avlyanie, bukan sebagai penyelamat barisan hadapan, tetapi sebagai anggota penting dalam unit logistik yang memastikan kelangsungan operasi pasukan penyelamat.

LANGIT mendung di Lapangan Terbang Kuala Lumpur tidak menyembunyikan rasa lega dan bangga yang terpancar dari wajah-wajah sekumpulan wira negara yang baru saja pulang dari sebuah misi luar biasa.

Mereka adalah Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), yang menyertai operasi kemanusiaan di Myanmar berikutan gempa bumi dahsyat yang melanda wilayah Sagaing.

Namun dalam kalangan barisan penyelamat ini, terserlah satu sosok istimewa iaitu Avlyanie Moidi, seorang wanita muda berusia 28 tahun dari Sabah, yang kini menjadi sebutan ramai kerana dedikasi dan semangat juangnya yang luar biasa.

BACA LAGI: [VIDEO] Vicki Belo rayu netizen jaga sensitiviti isu bentuk payudara

BACA LAGI: Lt Kol Ts Dr. Maimunah, pegawai wanita ATM wakil tunggal Asia pada ‘Defence Leaders Forum’

Gempa bumi yang menggegarkan bumi Sagaing pada akhir Mac lalu meninggalkan kemusnahan besar. Bangunan-bangunan runtuh, jalan terputus, ribuan kehilangan tempat tinggal dan ratusan nyawa terkorban.

Dunia memandang Myanmar dengan rasa simpati dan Malaysia turut menyahut panggilan bantuan antarabangsa dengan menghantar pasukan elit SMART ke kawasan bencana.

Di sinilah bermulanya perjalanan Avlyanie, bukan sekadar sebagai penyelamat barisan hadapan, tetapi sebagai anggota penting dalam unit logistik yang memastikan kelangsungan operasi pasukan penyelamat.

Peranannya mungkin tidak sepopular mereka yang mengangkat runtuhan mencari mangsa, namun Avlyanie tahu setiap tugas yang dilakukannya membawa kesan yang besar.

Dari memastikan bekalan makanan cukup, mengurus peralatan, hingga menyediakan keperluan harian anggota lain setiap butiran kecil adalah nadi yang menghidupkan seluruh sistem misi menyelamat.

Dalam persekitaran yang serba kekurangan dan penuh cabaran, beliau tetap berdiri teguh, melaksanakan tanggungjawab dengan tenang dan teliti.

Menerusi perkongsian di aplikasi TikTok DeMeteen, ketibaan pulang pasukan itu telah disambut dengan penuh hormat oleh anggota lain dan ahli keluarga.

Kelihatan dalam klip video terbabit Avlyanie satu-satunya wirawati yang menyertai misi terbabit.

"Wanita tunggal SMART ops Myanmar tiba di tanah air. Tahniah MAS-01,” tulis individu terbabit.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meninggalkan pelbagai komen rasa bangga dengan wira dan wirawati yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

"Wira dan wirawati negara, terima kasih kerana membawa nama Malaysia ke persada dunia," tulis @Mando Mane.

"Welcome back (selamat kembali) Sumandak Sabah dan semua," tulis @Mohd Azrul Hadi Alim.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai @Abg Tuan.

"Selamat pulang insan-insan hebat, kamu yang terbaik,” ujarnya.

Kepulangannya ke Malaysia disambut bukan sahaja oleh keluarga, tetapi juga rakyat yang mula mengenali wajah dan semangatnya melalui laporan media dan hantaran di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram