
BEKAS penyerang Liverpool, John Aldridge memberi amaran keras kepada skuad semasa The Reds agar tidak mensia-siakan peluang keemasan mereka untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Menurutnya, kegagalan meraih kejuaraan bakal menjadikan Liverpool sebagai bahan ketawa seluruh dunia bola sepak. Amaran itu hadir selepas kekalahan mengejut Liverpool 2-3 kepada Fulham dalam saingan liga hujung minggu lalu, hanya kekalahan kedua mereka musim ini.
Walaupun tewas, kedudukan Liverpool di puncak liga masih kukuh dengan kelebihan maksimum 11 mata berbanding pencabar terdekat, Arsenal yang hanya mencatat keputusan seri menentang Everton.
BACA LAGI: Foto tular atas bot cetus spekulasi Salah lanjutkan kontrak bersama Liverpool
Namun, prestasi Liverpool kebelakangan ini mula menimbulkan persoalan. Mereka telah tewas dalam tiga daripada empat perlawanan terakhir dalam semua pertandingan termasuk kepada Paris Saint-Germain dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan kekalahan di tangan Newcastle dalam perlawanan akhir Piala Carabao.
Legenda kelab, Jamie Carragher turut menyuarakan kebimbangan bahawa Arsenal dan pengurusnya Mikel Arteta mungkin masih percaya mereka mampu memintas Liverpool dalam perebutan takhta, meskipun hanya tinggal tujuh perlawanan.
Selain itu, Aldridge turut mempersoalkan sama ada pasukan lawan kini sudah berjaya memahami corak permainan yang diterapkan oleh pengurus Arne Slot, yang dilihat jarang melakukan penggiliran pemain sejak kebelakangan ini.
Pengendali Liverpool, Arne Slot. — Agensi
“Saya tertanya-tanya sama ada pasukan dan pengurus kini sudah memahami cara Arne Slot bermain. Itu satu kemungkinan. Pasukan lawan nampak lebih segar, lebih sukar dijangka dan kami pula mula bergelut," katanya dalam kolum, Liverpool Echo.
Aldridge turut menjadikan Fulham sebagai contoh bagaimana perubahan taktik memberi kelebihan kepada lawan, sekali gus menambah tekanan ke atas Liverpool. Walaupun masih mendahului liga, nasib The Reds boleh berubah jika tidak segera memperbaiki prestasi.
Dalam nada lebih serius, Aldridge yang bermain untuk The Reds dari musim 1987 hingga 1989 itu menyatakan bahawa kegagalan memenangi kejuaraan kali ini akan menjadi sesuatu yang memalukan bagi kelab.
Bekas penyerang Liverpool, John Aldridge. — Agensi
"Kalau Manchester City tidak merosot musim ini, kita mungkin sudah ketinggalan. Mujurlah kita masih di depan. Ia akan menjadi memalukan jika Liverpool tidak memenangi kejuaraan kali ini. Kita hanya boleh berharap itu tidak berlaku.
"Para pemain perlu sedar. Jika kita runtuh dan Arsenal menang di Anfield, mereka boleh kembali dalam perebutan. Malah, jika tidak berhati-hati, ia mungkin menjadi kejuaraan yang mereka lepaskan, bukan kita," jelasnya.
Akhir sekali, Aldridge menekankan bahawa perlawanan seterusnya menentang West Ham adalah yang paling penting dalam musim ini dengan dia menggesa agar The Reds bangkit untuk memperoleh kemenangan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram