
SEMASA di kemuncaknya, perniagaan ayam penyet diusahakan Amran Abd Hamid pernah mencatatkan nilai jualan mencecah jutaan ringgit menerusi 70 cawangan restorannya termasuk di luar negara.
Namun, badai cabaran impak pandemik Covid-19 kemudiannya membawa kepada penutupan banyak pintu restorannya yang ketika itu menggunakan nama Dapur Penyet.
Selepas lebih tiga tahun negara keluar daripada wabak tersebut, operasi perniagaannya yang kini dikenali sebagai penyet-penyet.com hanya melibatkan 21 restoran.
BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah
Berkongsi kepada Majoriti, Amran berkata, selain pengecilan operasi, syarikatnya turut mengalami bebanan hutang mencecah RM7 juta ringgit.
Bagaimanapun, situasi mencabar tersebut tidak sedikit pun meruntuhkan semangat Amran yang juga anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk terus berjuang mempertahankan perniagaannya.
Formula bangkit hadapi kemerosotan perniagaan
Dalam berdepan dengan kemerosotan operasinya, Amran yang juga pernah berkongsi pengalaman dalam sesi podcast Borak Orang Kampung oleh Export Oversea Academy - UTHM berkata, beliau sentiasa melakukan amalan mencari orang susah untuk dibantu.
Ujarnya, langkah tersebut disifatkan sebagai satu formula yang mampu memberikan ketengangan kepada dirinya ketika menghadapi ujian terhadap perniagaan dijalankan.
“Kadangkala, bila kita jatuh ni dia ada wonders. Dia macam miracle. Benda-benda miracle.
“Antara benda yang jadi pada saya yang bila kita jatuh, jatuh perniagaan, kedai-kedai (ayam penyet) ditutup dan sebagainya.
“Antara benda yang buatkan saya bersemangat (untuk bangkit) apabila saya lihat ada orang lain lagi yang lebih susah daripada saya.
“Prinsip tu kita pegang. Jadi bila kita sibukkan diri kita untuk bantu orang yang lagi susah daripada kita ni, kita akan lupa semua masalah kita walaupun kita susah.
“Kita cari orang susah masa tengah susah. Bagi makan, bagi beras, bagi duit, bagi apa-apa," katanya.
Bertitik tolak daripada situ, Amran berkata, beliau dan pasukannya akan sentiasa mencari orang susah untuk dibantu setiap kali mereka berdepan ujian sukar.
Pada waktu ini, Amran, 50, memegang peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Resepi Arena Sdn Bhd yang merupakan francaisor penyetpenyet.com.
Perjalanan Amran dalam bidang perniagaan dan makanan berlaku secara tidak sengaja selepas beliau didedahkan kepada hidangan ayam penyet di sebuah gerai di Singapura.
Tambah nilai perniagaan
Pada ketika itu, beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Korporat UiTM hadir ke republik tersebut atas urusan perniagaan teknologi maklumat (IT) yang diusahakannya.
Hasil perbincangan dengan pengusaha gerai itu yang berasal dari Indonesia, Edy Ongkowijaya, beliau membawa resipi berkenaan ke Malaysia dan membuka restoran pertamanya dikenali sebagai Dapur Penyet di Kompleks Maju Junction Kuala Lumpur pada Oktober 2010.
Perniagaannya terus berkembang dengan menggunakan konsep francais sehingga pernah memiliki operasi di empat negara iaitu Singapura, Brunei, Indonesia dan Myanmar.
Dalam pada itu, Amran berkata, selepas melalui lebih tiga tahun yang mencabar, beliau kini memberikan tumpuan bagi menstabilkan tahap operasi dan kewangan syarikat untuk tempoh beberapa tahun akan datang,
Ujarnya, 70 peratus daripada hutang bernilai hampir RM7 juta dialami syarikatnya juga kini sudah berjaya diselesaikan.
"Kita kini sedang dalam proses reset kerana syarikat kami sedang mengalami kejatuhan ketika Covid-19 antara lain akibat hutang sewa dan sebagainya.
"Dalam proses itu juga, kami dapat belajar banyak perkara antaranya daripada segi pelaksanaan langkah pengembangan syarikat.
"Kini kami lebih mengawal hutang yang diambil dan tumpu kepada meningkatkan kecekapan staf, jualan dalam talian dan penjenamaan produk," jelasnya yang juga bapa kepada 10 orang cahaya mata.
Amran di hadapan salah sebuah cawangan penyetpenyet.com.
Mengulas mengenai perancangan jangka panjang, Amran berkata, beliau kini memberikan tumpuan bagi meningkatkan lagi nilai perniagaan restorannya.
Ia termasuk dengan memperkenalkan menu hidangan dan sambal yang baharu dan berkualiti.
"Jika di masa akan datang kalau kita ada 100 cawangan, nilai perniagaan kita di mata pelabur akan meningkat dan kemudiannya boleh mengembangkan jenama kami sebagai satu empayar bisnes yang berdaya saing.
"Jadi di situ juga kita perlukan kerjasama strategik dan pelaburan yang baik," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram