[VIDEO] Geseran, bahang dalam bonet boleh jadi punca kereta bawa mercun terbakar di Manjung


  • Tular
  • Sabtu, 29 Mac 2025

Tangkap layar video memaparkan sebuah kereta membawa mercun terbakar di Manjung, Perak.

SEORANG pemandu berdepan detik cemas apabila keretanya terbakar ketika di persimpangan lampu isyarat di Jalan Permata Lumut, Bukit Permata, Manjung, Perak pada Jumaat. 

Menerusi video tular di media sosial, bonet belakang kereta yang membawa mercun itu terbakar secara tiba-tiba. 

Dalam video sama, kelihatan juga beberapa anggota bomba sedang berusaha mencuba memadam api sambil mengawal letupan mercun daripada terkena pengguna jalan raya. 

BACA LAGI: [VIDEO] Jalan TAR kecoh lagi libat penguat kuasa DBKL, peniaga

BACA LAGI: Kos menjahit bertambah, ibu bapa bimbang lencana Jalur Gemilang kurang berkualiti

Susulan kejadian itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung berkata, kebakaran berjaya dikawal tanpa sebarang kecederaan. 

Menurutnya, tiada sebarang kemalangan jiwa melibatkan pemilik kenderaan, anggota bomba mahupun orang awam. 

Namun, ada juga dakwaan mengatakan kebakaran boleh berlaku disebabkan pergerakan, geseran dan haba yang terkumpul di dalam bonet kereta. 

"Mungkin banyak gegaran, geseran dan bahang dalam bonet belakang. Rasa macam letak mercun dalam tempat simpan tayar kecemasan," komen Szarule Daburu.

Dalam pada itu, polis mengesahkan letupan yang berlaku berpunca daripada mercun yang disimpan di ruangan but kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, siasatan mendapati pemandu kereta jenis Proton Gen-2 berusia 24 tahun itu ada menyimpan bekalan mercun dalam but kenderaannya.

"Kejadian yang berlaku sekitar pukul 5.30 petang itu telah dimaklumkan oleh orang awam kepada polis.

"Anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati kebakaran berlaku di bahagian belakang kenderaan dan terdapat letupan mercun.

"Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati, sebelum kebakaran berlaku kereta tersebut mengalami kerosakan dan pemandu cuba menghidupkannya semula.

"Pemandu mengakui terdapat mercun yang disimpan dalam but kenderaan untuk kegunaan semasa hari raya," katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222 bagi membantu siasatan. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram