
SATU kekecohan berlaku antara peniaga, pengunjung dan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar kawasan Jalan Tun Abdul Razak (TAR), Kuala Lumpur pada Jumaat.
Menerusi dua video berasingan yang tular di media sosial, punca kejadian berlaku dipercayai ketika penguat kuasa DBKL sedang melakukan pemeriksaan terhadap peniaga-peniaga.
Ia juga dikatakan bermula apabila penguat kuasa menghalang seorang peniaga yang menjual belon di kaki lima Jalan TAR.
BACA LAGI: Kos menjahit bertambah, ibu bapa bimbang lencana Jalur Gemilang kurang berkualiti
Peniaga terbabit juga dikatakan tidak mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan secara sah di kawasan itu.
Tindakan itu bagaimanapun membuatkan para peniaga lain termasuk pengunjung tidak berpuas hati lalu menyerang penguat kuasa terbabit.
Dalam sebuah video berdurasi 34 saat, kelihatan satu lorong jalan yang dipenuhi dengan orang ramai dipercayai membuat rusuhan serta protes terhadap DBKL kerana menghalan peniaga menjelang beberapa hari sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Namun, punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan belum ada kenyataan dikeluarkan pihak DBKL berhubung perkara itu setakat ini.
Sementara itu, ruangan komen turut dibanjiri pelbagai respons dan reaksi daripada warganet yang menonton video berkenaan.
Rata-ratanya menyeru agar pihak DBKL bertolak ansur dengan para peniaga dan lebih fokus untuk membanteras warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram.
"Saya saksi kejadian, dia berniaga belon sahaja tetapi dihentam macam pengganas.
"Yang lawan semula itu semua bukan peniaga pun tetapi pengunjung yang lihat perbuatan DBKL," komen Daniel Wirdad.
"Lebih baik penguat kuasa cari orang yang bina tempat secara haram, bukan kacau orang berniaga sebulan dalam setahun," tambah Pe Pejot. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram