[VIDEO] Saksi lihat ada tangan melambai', tak sempat sambut Aidilfitri, 3 beranak antara 5 maut nahas di Kluang


  • 112
  • Jumaat, 28 Mac 2025

Lima individu disahkan maut dalam kemalangan babit empat kenderaan di Kilometer 58.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, Kluang, Johor, pada Khamis malam.  

KEGEMBIRAAN menyambut Aidilfitri bertukar tragedi apabila lima nyawa melayang dalam nahas ngeri membabitkan empat kenderaan di Kilometer 58.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, Kluang, Johor, pada Khamis malam.  

Kejadian yang berlaku pada pukul 11.48 malam itu mengakibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan treler terbakar sehingga menyukarkan usaha menyelamat. 

Selain lima mangsa yang maut di lokasi, lima individu lain mengalami kecederaan, manakala tiga lagi terselamat dalam insiden tragis berkenaan.  

BACA LAGI: 'Patut niaga guna barang halal', pemilik gerai di Sungai Karangan gesa warga emas pulang semula payung kedai

BACA LAGI: Diskaun tol 50 peratus sempena Aidilfitri bermula Jumaat

Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Nizar Mamun berkata, seramai 13 anggota dari BBP Renggam dan Kulai bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.  

“Sebaik tiba, pasukan mendapati MPV Honda Stepwagon dan treler sedang marak dijilat api. Kemalangan ini turut melibatkan sebuah Toyota Camry dan Proton X50,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.  

Tambahnya, tiga penumpang Toyota Camry berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lelaki dan seorang wanita yang menaiki Proton X50 mengalami kecederaan.  

"Seorang pemandu treler turut cedera. MPV Honda Stepwagon pula membawa seorang lelaki, empat wanita serta dua kanak-kanak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Keadaan mereka masih dalam siasatan," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang pengguna, Malaysia Setia memaklumkan terdapat pemandu kenderaan yang melihat tangan salah seorang mangsa melambai-lambai sewaktu insiden itu berlaku.

"Orang yang selamatkan budak itu, pemandunya nampak tangan melambai-lambai dan yang mangsa perempuan dia nampak sudah tak bergerak," katanya di laman Facebook.

Dalam perkembangan terbaru, polis mendedahkan bahawa tayar hadapan treler yang pecah hingga menyebabkan kenderaan itu gagal dikawal dan memasuki laluan bertentangan, menjadi punca kemalangan itu berlaku. 

Mangsa yang maut adalah pemandu MPV Honda Stepwagon Spada, Nasaarudin Pardi, 36; isterinya, Siti Khazira Bani, 35; dan anak mereka, Mariam, 2, dari Kota Tinggi.

Dua lagi mangsa yang maut adalah pemandu kereta Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, dari Nilai, Negeri Sembilan dan penumpang hadapan kereta itu berusia 20-an yang masih belum dikenal pasti identitinya.

Nasaarudin dan Siti Khazira disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Enche’ Besar Hajah Khalsom, manakala Iklil Nuraudah, lelaki yang menumpang keretanya serta Mariam maut di lokasi kemalangan dengan semua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan berlaku apabila tayar hadapan kanan treler dipandu Abdul Rahman Muhammad Rashid Rajos, 35, dari arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur pecah sehingga menyebabkannya hilang kawalan dan bergesel dengan kereta Toyota Camry dipandu Ow Yang Meng yang berada di laluan sama.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan treler memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta dipandu Iklil Nuraudah dan Nasaarudin yang sedang dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru.

Bahrin berkata, pertembungan itu juga menyebabkan kereta Nasaarudin terbakar sepenuhnya tetapi penumpang dan pemandu sempat dikeluarkan dari kenderaan sebelum api merebak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram