
AIR Asia mengesahkan punca penerbangan AK128 yang terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada Khamis bukan disebabkan kebakaran enjin.
Air Asia menjelaskan bahawa penerbangan yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shenzhen, China pada Rabu terpaksa berpatah balik berikutan masalah teknikal pada satu daripada enjin yang mencetuskan isyarat luar biasa.
"AirAsia mengesahkan tiada kebakaran enjin berlaku.
"Hasil pemeriksaan mendapati isyarat itu berpunca daripada masalah kerosakan saluran udara atau duct yang menyebabkan udara panas dilepaskan, memerlukan pesawat itu kembali ke pangkalan untuk dibaiki. Pesawat itu dijangka beroperasi semula pada 31 Mac ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
BACA LAGI: Polis siasat kes kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 2 anggota tentera ditahan
BACA LAGI: [VIDEO] Bahana curi kabel TNB, seorang maut, rakan jenayah sempat larikan diri di Ipoh
Bahagian yang mengalami kerosakan pada pesawat AirAsia.
Menurutnya, sepanjang kejadian terbabit, juruterbang mengikuti prosedur ditetapkan dan memohon keutamaan pendaratan untuk memastikan keselamatan semua penumpang dan anak kapal.
"Pesawat itu mendarat tanpa sebarang insiden di KLIA Terminal 2 pukul 12.06 tengah malam dan kesemua 171 penumpang serta enam anak kapal turun dengan selamat dan mereka dipindahkan ke pesawat lain yang berlepas pukul 3.46 pagi.
"Penerbangan gantian itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao'an pada 7.51 pagi, 27 Mac," katanya.
Pada masa sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) AirAsia Aviation Group, Datuk Kapten Chester Voo menegaskan bahawa tiada kebakaran enjin berlaku pada pesawat terbabit seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
"Kru penerbangan bertindak pantas dan mengambil langkah sewajarnya mengikut protokol keselamatan dan operasi yang ditetapkan.
"Juruterbang dan anak kapal dilatih dengan baik untuk mengendalikan situasi seperti ini dan pesawat mendarat dengan selamat serta tiada kejadian lain berlaku selepas prosedur berkaitan dilakukan," maklumnya.
Sebelum ini, pesawat AirAsia yang membawa 171 orang terpaksa melakukan pendaratan cemas di (KLIA) Terminal 2 selepas dilaporkan berlaku kebakaran pada pneumatic cutting burst.
Susulan itu, seramai sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA bergegas ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan pada kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram