
SEBANYAK tiga buah rumah dilaporkan musnah dalam satu kebakaran di Kampung Kuala Bekah, Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang pada Isnin.
Menerusi video tular di media sosial, kejadian dikatakan berpunca daripada tindakan kanak-kanak yang bermain bunga api dalam bilik di sebuah rumah terbabit.
Menerusi video sama, kelihatan seorang wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak terlibat meratapi keadaan rumahnya yang hangus dijilat api.
BACA LAGI: [VIDEO] Ramai kecewa, Menteri Pertahanan AS ditegur apabila gagal sebut nama negara Asean
Pada masa sama, beberapa pasukan bomba sedang menyiram air untuk memadamkan kebakaran tersebut.
Lebih memilukan apabila kejadian itu berlaku seminggu sebelum umat Islam di negara ini menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Mohd Faizwan Che Amat dilaporkan berkata, api sukar dipadam akibat kerosakan pada pili bomba berdekatan.
Pihaknya juga mendapati keadaan pili bomba yang berhampiran lokasi kejadian rosak akibat perbuatan vandalisme.
Bomba bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan.
Namun, punca sebenar kebakaran sama ada angkara bermain mercun atau litar pintas masih dalam siasatan.
Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan serius dilaporkan dalam kejadian itu.
Kesemua mangsa yang hilang tempat tinggal juga dikatakan sudah ditempatkan di pusat pemindahan sementara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram