Kuantiti, kualiti telur wanita menurun, peluang untuk hamil semakin mencabar pada usia 40-an


  • Relaks
  • Isnin, 07 Apr 2025

Ibu hamil perlu sentiasa merujuk pakar dan sesi konsultasi untuk memastikan proses kehamilan berjalan lancar. — Gambar hiasan/Freepik

KEHAMILAN adalah satu anugerah yang tidak ternilai bagi setiap wanita.

Namun, dengan perubahan gaya hidup dan peningkatan kerjaya, semakin ramai wanita memilih untuk menangguhkan kehamilan ke usia yang lebih matang.

Trend itu semakin ketara di Malaysia dengan data yang menunjukkan peningkatan jumlah wanita melahirkan anak selepas umur 40 tahun.

BACA LAGI: Alami perubahan fizikal lepas bersalin, 8 perkara ibu patut tahu, paling penting jangan panik

BACA LAGI: Influenza bukan selesema biasa, waspada kondisi anak-anak, risiko komplikasi serius

Statistik terbaru mendapati bahawa peratusan wanita Malaysia yang melahirkan anak selepas usia itu meningkat daripada 20.8 peratus pada 2017 kepada 23 peratus pada 2022.

Itu menjadikan Malaysia sebagai negara kedua tertinggi di Asia Tenggara dengan kelahiran bayi oleh ibu yang lebih berusia.

Walaupun kehamilan pada usia lebih matang membawa pengalaman yang unik dan penuh makna, ia juga datang dengan cabaran tersendiri.

Bagi wanita bercadang untuk hamil selepas usia 40-an, terdapat beberapa risiko kesihatan perlu diambil kira agar kehamilan berjalan lancar dan selamat.

Pakar menyarankan agar merancang kehamilan pada usia itu mendapatkan pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan serta pemantauan rapi bagi mengurangkan risiko komplikasi.

Ramai wanita usia 40-an berjaya menjalani tempoh hamil dengan pemantauan perubatan yang rapi. — Gambar hiasan

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Janin Ibu di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr. Gayathri Mariappa menjelaskan bahawa salah satu risiko utama mengandung pada usia 40 tahun adalah kemungkinan lebih tinggi untuk mengalami komplikasi perubatan dan obstetrik.

Ini termasuk penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti dan penyakit jantung yang boleh meningkatkan risiko bagi ibu dan bayi sepanjang tempoh kehamilan.

Selain itu, wanita yang mengandung pada usia 40-an juga lebih terdedah kepada kejadian janin dengan keabnormalan kromosom yang boleh membawa kepada penyakit seperti Sindrom Down.

“Kajian terbaru menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang lebih kuat antara keabnormalan kromosom dan potensi kecacatan kongenital pada kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita lebih 40 tahun,” jelas Dr Gayathri.

Rundingan pakar amat penting untuk membolehkan para ibu melahirkan bayi yang sihat. — Gambar hiasan

Selain daripada risiko perubatan tersebut, wanita juga berkemungkinan menghadapi kesukaran untuk hamil secara semula jadi pada usia itu.

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan daripada SMCV, Dr Farah Leong Rahman menjelaskan bahawa faktor biologi memainkan peranan besar dalam menentukan kesuburan wanita.

“Wanita dilahirkan dengan bilangan telur yang tetap dalam ovari mereka dan kuantiti itu akan beransur-ansur berkurangan dari semasa ke semasa.

"Menjelang usia 40 tahun, kuantiti dan kualiti telur wanita akan menurun dengan ketara, menjadikan peluang untuk hamil semakin mencabar,” katanya.

Meskipun risiko-risiko itu wujud, ramai wanita tetap berjaya menjalani tempoh kehamilan dengan pemantauan perubatan rapi dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Pakar menyarankan agar wanita yang bercadang untuk hamil pada usia 40-an mendapatkan rundingan dengan doktor.

Perkara itu penting bagi memahami keadaan kesihatan dan langkah-langkah perlu diambil untuk mengurangkan risiko komplikasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram