Ibu berpantang sewaktu musim raya, nikmati juadah lebaran tanpa memudaratkan tubuh


  • Relaks
  • Jumaat, 28 Mac 2025

Terdapat banyak cara yang boleh diambil untuk memastikan tubuh isteri kembali langsing selepas bersalin. — Gambar Hiasan

MENJALANI tempoh berpantang semasa sambutan Hari Raya boleh menjadi cabaran bagi ibu yang baru melahirkan anak. 

Namun, dengan pendekatan yang betul, ibu dapat menikmati perayaan sambil memastikan pemulihan yang optimum. 

Berikut adalah beberapa tip berpantang yang boleh diamalkan serta panduan mengenai pengambilan kuih raya yang sesuai:

BACA LAGI: Tangas moden 'rahsia' sihat Tyra semasa hamil, tempoh berpantang, mudah disediakan 15 minit saja!

BACA LAGI: Influenza bukan selesema biasa, waspada kondisi anak-anak, risiko komplikasi serius

1. Menyusukan bayi secara konsisten

Penyusuan badan bukan sahaja bermanfaat untuk bayi dari segi perkembangan fizikal dan imunisasi, tetapi ia juga memberikan kesan positif kepada ibu yang ingin menurunkan berat badan secara semula jadi. 

Ini kerana, proses penyusuan memerlukan tenaga tinggi yang menyebabkan tubuh ibu akan membakar sehingga 500 kalori sehari untuk menghasilkan susu ibu yang mencukupi. 

Oleh itu, ibu-ibu yang menyusukan bayi mereka secara seimbang selama enam bulan pertama berkemungkinan dapat menurunkan berat badan lebih cepat berbanding mereka yang tidak menyusukan bayi.

Selain itu, penyusuan juga membantu mengecutkan rahim dengan lebih cepat, sekaligus mengembalikan perut kepada saiz asalnya lebih awal.

Pemakaian bengkung mampu membentuk semula bahagian pinggang. — Gambar Hiasan

2. Pemakaian bengkung 

Amalan memakai bengkung selepas bersalin telah lama menjadi sebahagian daripada budaya tradisional di negara kita. 

Penggunaan bengkung yang betul dan konsisten dipercayai dapat membantu mengempiskan perut dengan lebih cepat serta membentuk semula bahagian pinggang.

Bengkung juga berfungsi untuk memberikan sokongan kepada bahagian perut dan tulang belakang yang mungkin lemah selepas bersalin. 

Di samping itu, ia juga membantu mengeluarkan angin dari dalam badan serta mempercepatkan proses pemulihan otot perut yang telah meregang semasa kehamilan. 

Pemakaian bengkung secara konsisten selama beberapa minggu selepas bersalin boleh memberikan kesan yang lebih baik terhadap proses pengecutan rahim dan penurunan berat badan. 

Ibu yang sedang berpantang perlu menjaga pemakanan mereka. — Gambar Hiasan

3. Mengamalkan pemakanan seimbang dan bernutrisi

Pemakanan yang seimbang dan kaya dengan nutrien amat penting untuk memastikan ibu memperoleh tenaga yang mencukupi bagi menjalani proses penyembuhan serta menyusukan bayi dengan baik. 

Makanan yang tinggi protein seperti ikan, ayam dan kekacang membantu dalam membina semula sel-sel badan yang rosak. 

Manakala, sayur-sayuran hijau dan buah-buahan yang kaya dengan serat boleh membantu melancarkan sistem pencernaan serta mengelakkan masalah sembelit.  

Selain itu, pengambilan makanan yang rendah lemak dan tinggi serat dapat membantu mengawal berat badan dengan lebih baik. 

Ikan seperti salmon, sardin dan tuna kaya dengan asid lemak omega-3 yang bukan sahaja baik untuk perkembangan otak bayi, malah membantu meningkatkan kadar metabolisme badan ibu. 

Produk tenusu seperti susu rendah lemak dan yogurt pula menyediakan sumber kalsium yang diperlukan bagi memastikan kesihatan tulang ibu kekal kuat selepas kehamilan. 

Minum air secukupkan penting untuk mengekalkan hidrasi badan. — Gambar Hiasan

4. Minum air secukupnya 

Air memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu proses detoksifikasi badan serta mengekalkan tahap hidrasi yang optimum terutamanya bagi ibu yang menyusukan bayi. 

Pengambilan air yang mencukupi bukan sahaja membantu membuang toksin dalam badan tetapi juga membantu mempercepatkan proses pembakaran lemak serta mengempiskan perut.  

Menurut pakar kesihatan, ibu yang sedang berpantang digalakkan untuk minum sekurang-kurangnya lapan hingga sepuluh gelas air sehari bagi memastikan tubuh mereka berfungsi dengan baik. 

Jika tidak suka minum air kosong dalam kuantiti yang banyak, ibu boleh menggantikannya dengan air suam yang dicampurkan dengan sedikit perahan lemon atau halia untuk meningkatkan kadar metabolisme badan.

Bertungku mampu mengurangkan kesakitan otot yang dialami seorang ibu yang baru bersalin.

5. Amalan berpantang tradisional seperti bertungku

Amalan bertungku merupakan salah satu cara yang telah diamalkan sejak turun-temurun bagi membantu ibu berpantang mengurangkan kesakitan otot serta mempercepatkan proses penyembuhan selepas bersalin.

Penggunaan batu yang dipanaskan bersama herba seperti serai wangi dan daun pandan dipercayai dapat membantu mengeluarkan peluh serta toksin dari dalam badan. 

Selain itu, bertungku juga membantu melancarkan peredaran darah serta mengurangkan rasa bisa dan lenguh-lenguh pada badan.

Amalan itu boleh dilakukan setiap hari selama 20 hingga 30 minit untuk mendapatkan kesan yang lebih baik terhadap kesihatan tubuh badan.

6. Pengambilan kuih raya semasa berpantang

Memetik laporan dari Asian Parents, ibu berpantang masih boleh menikmati kuih raya, namun perlu mengambil kira beberapa syarat penting.

Pertama, mereka disarankan untuk memilih kuih yang rendah kandungan gula dan lemak. 

Kuih yang tinggi dengan gula serta lemak tepu boleh mengganggu sistem pencernaan dan meningkatkan risiko kenaikan berat badan secara mendadak.

Selain itu, ibu berpantang juga digalakkan untuk mengambil kuih yang tinggi serat seperti kuih yang diperbuat daripada bijirin penuh seperti oat atau kekacang.

Kandungan serat yang tinggi dalam makanan itu dapat membantu melancarkan sistem pencernaan serta mencegah masalah sembelit yang sering dialami selepas bersalin.

Di samping itu, ibu berpantang perlu mengelakkan kuih yang mengandungi bahan pengawet dan perasa tiruan.

Lebih baik jika mereka memilih kuih buatan sendiri yang menggunakan bahan-bahan semula jadi kerana ia lebih selamat dan tidak mengandungi bahan kimia yang boleh memberi kesan negatif kepada tubuh.

Antara kuih yang sesuai termasuk biskut yang diperbuat daripada oat, badam atau biji chia yang kaya dengan serat dan nutrien. 

Dengan mengamalkan tip-tip di atas, ibu berpantang dapat menikmati sambutan Hari Raya dengan selesa sambil memastikan kesihatan dan pemulihan yang optimum. 

Ikan tenggiri masak singgang kaya dengan protein yang sesuai untuk ibu berpantang.

Cadangan masakan berpantang yang sihat dan mengenyangkan

Berikut adalah beberapa resepi masakan berpantang yang bukan sahaja sihat dan rendah kalori tetapi juga membantu dalam proses pemulihan badan serta penurunan berat badan ibu selepas bersalin:  

a) Ikan tenggiri masak singgang

Makanan rendah lemak dan kaya dengan protein 

Bahan-bahan:

- 1-2 ulas bawang putih (diketuk)  

- ½ cm kunyit hidup (dihiris nipis)  

- ½ cm lengkuas muda (dihiris nipis)  

- 1 keping isi ikan tenggiri  

- 1 sudu besar air asam jawa atau 1 keping asam gelugur  

- 1 batang serai (dititik)  

Cara penyediaan:

1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk bersama air secukupnya.  

2. Didihkan sehingga ikan masak sepenuhnya.  

3. Perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam sebelum dihidangkan.  

Sup lobak putih antara menu mudah yang boleh dicuba ibu berpantang.

b) Sup lobak putih

Makanan yang membantu meningkatkan penghasilan susu ibu

Bahan-bahan:  

- ½ ekor ayam (dipotong kecil)  

- 1 batang lobak putih (dihiris nipis)  

- 2-3 ulas bawang putih (ditumbuk kasar)  

- 2-3 ulas bawang merah (dihiris nipis)  

- ½ inci halia (dihiris nipis)  

- 1 paket perencah sup sayur  

- 1 kiub pati ayam  

Cara penyediaan:

1. Tumis bawang putih, bawang merah dan halia sehingga naik bau.  

2. Masukkan air secukupnya, ayam dan perencah sup.  

3. Didihkan dan masukkan lobak putih.  

4. Perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam sebelum dihidangkan.  

Ikan bawal putih merupakan menu yang sesuai untuk menguruskan badan selepas bersalin.

2) Ikan bawal putih kukus halia

Makanan rendah kalori, tinggi protein dan membantu melancarkan peredaran darah

Bahan-bahan:

1 ekor ikan bawal putih (dibersihkan)

1 inci halia (dihiris halus)

2 ulas bawang putih (diketuk)

1 sudu kecil minyak bijan

1 sudu kecil garam

½ sudu kecil lada hitam

1 sudu besar air perahan limau nipis

3 helai daun limau purut (dihiris halus)

½ batang serai (dititik)

Cara penyediaan:

Gaulkan ikan bawal putih dengan garam, lada hitam dan air perahan limau nipis.

Letakkan ikan dalam pinggan tahan panas. Taburkan hirisan halia, bawang putih, daun limau purut dan serai di atas ikan.

Panaskan pengukus dan kukus ikan selama 15-20 minit sehingga masak sepenuhnya.

Titiskan sedikit minyak bijan di atas ikan sebelum dihidangkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram