Apa dijamah ibu mengandung amat penting, mimik muka bayi buktikan pemilihan makanan bermula semasa trimester akhir kehamilan


  • Relaks
  • Rabu, 26 Feb 2025

Ekspresi bayi menunjukkan bahawa mereka kelihatan lebih cenderung untuk bertindak balas dengan baik terhadap bau makanan yang dimakan ibu semasa mengandung.

PENYELIDIK mengesyorkan ibu-ibu yang ingin anak kecil mereka makan sayur-sayuran untuk mengambil makanan tertentu semasa peringkat akhir kehamilan.

Ia berikutan kajian yang mendapati bayi baharu lahir menunjukkan reaksi positif terhadap bau makanan yang didedahkan kepada mereka semasa dalam kandungan.

Kajian yang diketuai oleh Universiti Durham, Britain itu meneliti ekspresi wajah bayi berusia tiga minggu menerusi si ibu yang sering mengambil serbuk kale atau lobak merah.

BACA LAGI: Perjuangan diteruskan demi wanita dapat peluang saksama, bebas diskriminasi, KPWKM komited hak dan kebajikan kaum Hawa terbela

BACA LAGI: Muzium kanak-kanak pertama Malaysia di KL, Mosaic tawar ruang kreatif untuk berkarya, teroka potensi

Bayi yang terdedah kepada kapsul lobak merah yang diambil oleh ibu mereka dilaporkan bertindak balas dengan baik terhadap bau sayur tersebut.

Begitu juga bayi yang mana ibu mereka mengambil kapsul serbuk kale semasa mengandung bertindak balas positif terhadap bau sayuran berkenaan.

Seorang pakar dalam penyelidikan janin dan neonatal, Profesor Dr. Nadja Reissland, mengkaji kesan merokok terhadap bayi dalam kandungan mendapat perhatian pada 2015.

“Ekspresi bayi menunjukkan mereka kelihatan lebih cenderung untuk bertindak balas dengan baik terhadap bau makanan yang dimakan ibu mereka pada bulan-bulan terakhir kehamilan.

"Maksudnya kita boleh menggalakkan bayi untuk bertindak balas lebih positif terhadap sayur-sayuran hijau, contohnya dengan mendedahkan mereka kepada makanan tersebut semasa kehamilan," katanya.

Beliau berkata, terdapat kecenderungan untuk memberi makanan manis kepada bayi yang sedang menyusu seperti lobak merah tumbuk, pir atau pisang.

"Jika ibu makan sayur hijau yang pahit dan sihat, itu mungkin membuatkan anak mereka menyukai dan menerima sayur tersebut.

”Bayi dalam kandungan mempunyai deria bau yang sangat sensitif," tambah Prof Reissland.

Kajian ini melibatkan 32 bayi dari timur laut England dan merujuk kepada kertas kajian 2022 yang menunjukkan imbasan ultrasound 4D di mana janin tersenyum apabila ibu mereka memakan lobak merah dan mengerutkan muka apabila terdedah kepada kale.

Penyelidikan menunjukkan janin dapat merasai dan membezakan rasa ketika di dalam kandungan.

Untuk kajian terbaharu, bayi diberi bau atau mencium bau lobak merah atau kobis daun. Namun tiada apa-apa dimasukkan ke dalam mulut mereka kerana terlalu muda untuk didedahkan kepada rasa.

Saintis kemudian menganalisis video untuk memantau reaksi bayi dan membandingkan reaksi tersebut, dengan pemantauan sebelum mereka dilahirkan untuk memahami kesan pendedahan rasa yang berulang pada trimester terakhir kehamilan.

Pasukan penyelidik mendapati dari tempoh janin hingga bayi baru lahir, terdapat peningkatan kekerapan "wajah ketawa" dan penurunan kekerapan "wajah menangis" terhadap bau yang pernah dialami bayi sebelum kelahiran.

Pengarang bersama kajian itu, Dr. Beyza Ustun-Elayan berkata, penyelidikan menunjukkan janin bukan sahaja dapat merasai dan membezakan rasa di dalam kandungan.

Malahan, mimik muka bayi juga menunjukkan seolah-olah mula belajar dan membentuk ingatan untuk rasa tertentu jika terdedah kepadanya berulang kali.

"Ini menunjukkan bahawa proses pembentukan keutamaan makanan bermula lebih awal daripada yang kita sangka iaitu dari dalam kandungan.

"Jika kita memperkenalkan rasa ini lebih awal, kita mungkin dapat membentuk tabiat makan yang lebih sihat dalam kalangan kanak-kanak sejak dari awal," katanya.

Kajian tersebut juga melibatkan saintis dari Universiti Aston di Britain dan ahli akademik di Perancis, demikian menurut jurnal Appetite. — The Star/AGENSI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram