Kanta lekap, alat optik dilarang dijual online, penjara 2 tahun jika ingkar


  • Primer
  • Selasa, 25 Mac 2025

Kanta lekap dan alat optik dilarang dijual secara online. — Gambar hiasan

BAGI memastikan keselamatan dan kesihatan pengguna terjamin, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) melarang jualan alat optik dan kanta lekap dilakukan secara atas talian (online).

Ketua Eksekutif MDA, Dr P Muralitharan berkata, kedua-dua peranti itu dikategorikan sebagai perubatan yang dikawal di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) dan perlu memenuhi semua keperluan pendaftaran sebelum diimport atau dipasarkan.

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara terlupa, wanita pakai 23 kanta lekap, ngeri cara doktor keluarkannya

BACA LAGI: Bantuan khas Aidilfitri akan dibayar minggu ini — MOF

"Alat optik dan kanta lekap juga dikategorikan sebagai 'prescribed medical device' yang mana kedua-dua peranti berkenaan perlu mendapat preskripsi dan disediakan serta diserahkan dari Juru Optik atau Optometris yang berdaftar sahaja sebagaimana yang dinyatakan dalam Akta Optik 1991 (Akta 469), Seksyen 30 yang dikuat kuasa oleh Majis Optik Malaysia (MOC).

"MOC juga mengeluarkan garis panduan berhubung larangan penjualan alat optik dan kanta lekap secara dalam talian yang boleh dirujuk di laman rasmi yang sedia ada," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambahan itu, sebagai langkah penguatkuasaan, MDA tidak akan mengeluarkan sebarang kelulusan berkaitan iklan atau penjualan peranti berkenaan melalui platform e-dagang.

"Mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Peranti Perubatan (Pengiklanan) 2019, yang memperuntukkan denda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai digesa untuk tidak membeli alat optik dan kanta lekap secara dalam talian tanpa khidmat nasihat daripada pakar berdaftar kerana ia boleh membawa risiko kesihatan mata dan penglihatan," katanya.

Ujarnya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan terbabit termasuk penyedia platform dalam talian yang masih menjual peranti berkenaan secara tidak sah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penjualan peranti tersebut secara dalam talian boleh membuat laporan kepada MDA melalui Sistem Pengurusan Maklum Balas MDA (FEMES) di https://femes.mda.gov.my/ atau melalui e-mel ke [email protected]. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram