
LEBIH dikenali di pentas lakonan, Khir Rahman, 52, atau nama lengkapnya Khairulizam Abdul Rahman terlebih dahulu menceburi bidang seni dalam dunia nyanyian sekitar era 1998.
Berperanan sebagai vokalis kumpulan rock popular tanah air iaitu Iklim, ia merupakan debut pertama Khir Rahman sebagai anak seni.
Kumpulan itu yang lebih sinonim dengan vokalis asal, Allahyarham A.M Salim Abdul Majeed, bagaimanapun pernah mencipta sejarah bersama pelakon filem Rock itu selama lebih tiga tahun.
BACA LAGI: Amy Mat Piah 'sebenar' dedah identiti Zul Kapan, nafi tak boleh menyanyi seperti dalam filem Rock
Bagaikan rezeki terpijak, kemunculan Khir Rahman bersama Iklim tercetus selepas konflik dalaman melanda kumpulan tersebut yang kemudiannya memaksa Saleem bergerak secara solo untuk seketika.
Khir Rahman (dua dari kiri) sebagai vokalis utama kumpulan Iklim.
Diberikan mandat selaku pengganti penyanyi berpengaruh itu, Khir Rahman berjaya meneruskan hala tuju seni Iklim walaupun sebagai pendatang baharu dalam industri ketika itu.
Merupakan satu-satunya album bukan nyanyian Saleem, Pergimu Satu Tanda menjadi bukti kegemilangan Khir Rahman bersama Iklim pada 1998 yang nyata tidak diketahui ramai.
Mengandungi 10 buah lagu, Pergimu Satu Tanda dan Zapin Terbilang merupakan antara karya ciptaan anak kepada bintang pop yeh yeh, Allahyarham A Rahman Hassan itu.
Pun begitu, jodoh Khir Rahman bersama kugiran rock tersebut tidak berpanjangan apabila dia akhirnya membuat keputusan untuk bergelar penyanyi solo.
Biarpun tanpa reputasi Iklim, karier nyanyiannya diteruskan dengan sebuah album solo diterbitkan pada 2004 berjudul Filsafat.
Bermula detik itu, kerjaya seninya semakin meluas apabila muncul sebagai pelakon dalam filem pertamanya, Anak Mami The Movie (2002) dan seterusnya ditawarkan watak utama menerusi naskhah epik Puteri Gunung Ledang (2004).
Khir Rahman membintangi filem Rock (2005).
Nama Khir Rahman mula meledak dalam industri perfileman apabila membintangi filem Rock (2005) arahan Allahyarham Mamat Khalid.
Sinonim dengan watak Jijo Alfonso Pareira Abdullah, Khir Rahman merupakan tunjang utama kepada populariti filem trilogi tersebut apabila berjaya mencatat kutipan lebih RM5 juta menerusi Rock Bro! (2016).
Berselindung di sebalik identiti kumpulan rock Rimba Bara, bakat seni Khir Rahman bukan sekadar di layar perak malah terlebih dahulu mencipta legasi bersama Iklim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram