
SEORANG lelaki meminta orang ramai untuk membantu mengesan pemandu kenderaan jenis Perodua Myvi yang didakwa melanggar lari anak lelakinya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) pada awal pagi Ahad.
Melalui perkongsian Azlee Gomen di laman Facebooknya, pemandu tersebut turut menyebabkan beberapa kemalangan melibatkan kenderaan lain pada hari sama.
Dakwanya, kejadian itu berlaku di tiga lokasi berbeza di sekitar Lebuhraya MRR2.
BACA LAGI: [VIDEO] Kecoh satu Klang gudang kurier dirompak sekumpulan lelaki berparang
"Mohon bantuan sahabat-sahabat untuk panjangkan video ini, kes langgar lari dalam satu masa tiga kejadian.
"Lokasi pertama berlaku MRR2, Taman Midah menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur dan mangsa merupakan anak lelaki saya yang berumur 16 tahun.
"Waktu kejadian, kami baru selesai membeli baju raya dan anak dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal," katanya pada Ahad.
Tambah Azlee lagi, pemandu yang sama turut dipercayai melanggar dua lagi motosikal berhampiran Taman Caunought dekat Cheras, Kuala Lumpur sehingga menyebabkan dua mangsa lelaki dan wanita cedera.
"Kedua-dua mangsa juga menyebut kenderaan yang sama merempuh mereka setelah ditunjuk video dashcam milik kenderaan saksi.
"Lokasi ketiga kejadian berlaku di kawasan berhampiran Bukit Dukung dekat Hulu Langat, Selangor. Mangsa turut mendakwa dilanggar oleh Myvi yang sama," tulisnya lagi.
Azlee juga memuat naik beberapa gambar dan rakaman dashcam kejadian yang berlaku pada awal pagi Ahad tersebut.
"Saya mohon kepada warga Facebook untuk kongsi sebanyak mungkin sehingga pelaku/ pemilik kenderaan ini dikenakan tindakan sewajarnya," katanya lagi.
Difahamkan, satu laporan polis berhujung kejadian tersebut telah dibuat. Namun, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram