Didakwa pernah tinggal bersama, remaja lelaki direman 6 hari bantu siasatan tikam rakan universiti hingga parah


  • 112
  • Selasa, 18 Mac 2025

Seorang pelajar perempuan sebuah universiti di Merbok, Kedah cedera parah ditikam seorang penuntut lelaki yang juga dipercayai bekas kekasihnya pada Isnin.

SEORANG remaja lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan kes mencederakan seorang penuntut perempuan sebuah universiti tempatan di Sungai Petani, Kedah pada Isnin.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Sungai Petani, Kedah, M Kalairasi terhadap suspek berusia 19 tahun itu di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani bermula Selasa hingga 23 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, suspek mengalami kecederaan di tangan kanan akibat tertikam pisau ketika bergelut dengan mangsa.

BACA LAGI : [VIDEO] Rempuh 3 motosikal di 3 lokasi berbeza, ayah rayu bantuan orang ramai kesan pemandu Myvi langgar lari anak

BACA LAGI : [VIDEO] 'Kucing hidu bahaya', pemandu Myvi baru masuk kenderaan nyaris maut kena 'sodok' kereta laju di Kulim

Katanya, suspek kini ditahan di wad dengan pengawasan polis dan akan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Menurut Wan Azharuddin, siasatan polis mendapati mangsa berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan akibat tikaman di beberapa bahagian belakang badan dan leher dan pada Selasa dilaporkan stabil dan sedar.

Mangsa sedar selepas menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil.

"Kita juga  merakam keterangan suspek dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Polis turut akan merekod keterangan daripada mangsa selepas mangsa stabil dan beberapa saksi di tempat kejadian untuk polis melengkapkan siasatan," katanya pada Selasa.

Pada Isnin media melaporkan seorang penuntut perempuan sebuah universiti di Merbok, Kedah cedera parah ditikam seorang penuntut lelaki yang tidak berpuas hati berhubung isu peribadi di hadapan sebuah tandas di universiti berkenaan.

Mangsa dikatakan dihampiri oleh suspek yang dipercayai bekas teman lelakinya sebelum bertindak menikam belakang badan mangsa berulang kali menyebabkan mangsa rebah.

Suspek difahamkan tidak berpuas hati dengan mangsa kerana memutuskan hubungan mereka yang terjalin sejak sama-sama belajar dan tinggal di Butterworth, Pulau Pinang. — The Star 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram